Anda di sini

Piala Datuk Bandar galak bukan Bumiputera bermain bola sepak

Advertisement

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menganjurkan pertandingan bola sepak untuk menggalakkan penglibatan lebih ramai golongan bukan Bumiputera pada hujung bulan ini.

Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan bekata kejohanan yang diberi nama ‘Piala Datuk Bandar’ itu akan diadakan sempena perayaan Festival Kuching anjuran MBKS.

Katanya, memandangkan sukan bola sepak semakin popular hari ini, beliau mahu menjadikan ia platform bagi golongan bukan Bumiputera menonjolkan diri mereka menerusi sukan tersebut.

“Saya tahu bola sepak sangat popular di kalangan golongan Bumiputera bukan sahaja di Kuching tetapi di seluruh Sarawak.

“Justeru, saya berharap kejohanan yang akan dianjurkan ini dapat membantu menambah penglibatan kaum bukan Bumiputera dalam sukan itu,” katanya semasa sidang media di MBKS semalam.

Chan juga berharap mereka yang berminat akan menghantar pasukan terbaik bagi menjadikan kejohanan itu semeriah mungkin.

Pada masa sama, Pengerusi Kejohanan Irwan Zulkarnain Hasbie menjelaskan setiap pasukan perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga pemain bukan Bumiputera samada dalam barisan simpanan atau kesebelasan utama.

“Pertandingan ini akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu lelaki bawah 16 tahun, lelaki terbuka (sembilan sebelah) dan lelaki veteran (sembilan sebelah). Ia juga akan diadakan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa,” katanya.

Menurut Irwan, tempoh permainan bagi kategori lelaki terbuka dan veteran ditetapkan selama 20 minit manakala bagi lelaki bawah 16 tahun selama 40 minit.

Sebanyak 16 pasukan yang mewakili palbagai jabatan perkhidmatan awam akan bertanding dalam kategori lelaki terbuka dan veteran manakala lapan pasukan mewakili sekolah akan bersaing dalam kategori lelaki bawah 16 tahun.

Kesemua perlawanan akan diadakan di Padang Jubilee dengan perlawanan pertama akan bermula pada 30 Ogos ini.

Majlis penutupan kejohanan akan dirasmikan oleh Chan pada 7 September depan.

Advertisement