Anda di sini

Usahawan tempatan disaran ketengahkan produk mereka ganti barang Israel

Advertisement

MARAN: Usahawan tempatan semalam diminta merebut peluang mengetengahkan produk mereka di pasaran, menggantikan barangan berkepentingan Israel yang diboikot.

Menyarankan demikian, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Muttalib berkata, “Usahawan tempatan sepatutnya melihat perkara ini sebagai satu cabaran dan peluang kerana mereka bukan tidak mempunyai kemampuan untuk menggantikan produk Israel, seperti makanan segera.

“Kita mempunyai Ramly Burger yang boleh merebut peluang ini untuk mewujudkan rangkaian francais makanan segera sebagai alternatif untuk pengguna,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Potensi Kanak-kanak Tabika KEMAS dan Penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia peringkat Parlimen Maran di sini semalam.

Ahli Parlimen Maran itu turut menyeru rakyat supaya bersatu dan konsisten dalam memboikot produk Israel untuk menekan negara itu menghentikan keganasannya terhadap penduduk Palestin.

Ismail juga menyaran mereka yang bekerja di premis atau syarikat berkepentingan Israel supaya mencari pekerjaan alternatif.

Majlis itu turut dihadiri Pegawai Daerah Maran Datuk Fadzilla Salleh dan Pengarah KEMAS Pahang Halimaton Mansor. — Bernama

Advertisement