Anda di sini

Peluang kerja lebih cerah jika prestasi latihan cemerlang

Advertisement

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

BAKALJALANI LATIHAN INDUSTRI: Masni (tujuh kiri) bersama kakitangan Pelita Maslaut dan pelatih yang telah menamatkan kelas teori di akademi itu baru-baru ini.

PELUANG kerjaya lebih cerah bagi pelatih Akademi Maritim Pelita Maslaut sekiranya mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa menjalani latihan industri selama tiga bulan.

Pengarah Urusan Pelita Maslaut Sdn Bhd, Masni Amit berkata, akademi itu yakin akan membekalkan tenaga kerja yang bermutu dalam bidang maritim ke syarikat-syarikat besar dunia.

“Peluang kerjaya sentiasa terbuka luas namun ia bergantung kepada komitmen, prestasi dan tahap kerajinan pelatih semasa menjalani latihan industri yang pada akhirnya dinilai syarikat-syarikat perkapalan,” katanya di Miri baru-baru ini.

Beliau memberitahu, sejak beroperasi lebih 10 tahun lalu, rata-rata pelatih yang menunjukkan prestasi cemerlang semasa LI akan mudah diserap masuk sebagai pekerja.

“Sehubungan itu, kita percaya dan yakin bahawa pelatih yang berminat menyertai bidang maritim ini akan menunjukkan komitmen yang tinggi semasa mereka praktikal di luar,” ujarnya.

Beliau pada masa sama menasihatkan supaya pelatih akademi itu bagi Siri 10 yang baharu menamatkan kelas secara teori baru-baru ini memanfaatkan ilmu semasa latihan industri.

“Kita berharap segala ilmu yang mereka dapat semasa belajar di akademi dimanfaatkan sepenuhnya ketika mereka menjalani LI di syarikat-syarikat perkapalan tempatan,” jelasnya.

Seramai 30 pelatih Siri 10 dari akademi itu bakal menjalani latihan industri di Anjang Shiping, Shiling Shiping serta Marwin Nyelang Shiping selama tiga bulan.

Sebaik sahaja tamat latihan industri, pelatih terbabit kemudiannya akan dinilai pihak syarikat perkapalan dan jika cemerlang, maka peluang pekerjaan sudah sedia menanti mereka.

Pelita Maslaut merupakan akademi maritim yang diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Pusat itu telah mula beroperasi sejak 2001 dan sehingga kini telah berjaya melahir ribuan tenaga kerja dalam industri maritim sama ada di Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara.

Advertisement