Anda di sini

El Nino jejas paras air di Batang Ai

Advertisement

Oleh Edwin Raoh //

Kemarau berpanjangan menyebabkan paras tadahan air turun ketara

Paras air tadahan di tasik empangan hidroelektrik mengalami penurunan ketara.

LUBOK ANTU: Fenomena El Nino menyebabkan orang ramai berasa kurang selesa berikutan  kemarau berpanjangan sehingga paras air sungai dan kawasan tadahan air menurun.

Sehubungan itu, tinjauan Utusan Borneo ke Empangan Hidroelektrik Batang Ai Lubok Antu mendapati paras tadahan air di kawasan tersebut menurun.

Ia dinilai berdasarkan keadaan perahu-perahu penduduk yang ditambat berada di kedudukan rendah, manakala kesan penurunan paras air jelas kelihatan di bukit-bukau sekitarnya.

Walaupun hujan kadang-kadang turun sejak dua hari lepas, namun ia tidak banyak mengubah paras air di empangan tersebut.

Menurut penduduk, Donny Kipa dari Sebangki Panjai, kemarau berpanjangan menyebabkan perubahan ketara berlaku ke atas paras tasik Empangan Hidroelektrik Batang Ai.

“Hujan amat jarang berlaku sekarang yang menyebabkan paras air sungai di kawasan Empangan Hidroelektrik Batang Ai Lubok Antu mula menurun,” katanya ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman Cassidy Morris ketika dihubungi memberitahu paras air sungai di kawasan Loji Penapisan Air Bayai di sini juga turut menurun.

“Bagaimanapun, setakat ini masih belum berlaku krisis air di sini dan saya memohon pengguna agar mengamalkan sikap berjimat cermat ketika musim kemarau,” katanya.

Cassidy turut menasihatkan pengguna agar menghubungi JKR Bahagian Sri Aman pada waktu pejabat menerusi talian 083-321620 sekira berlaku masalah kekurangan air di tempat mereka.

Advertisement