Anda di sini

Aidilfitri paling bermakna

Advertisement

Mohd Hafifi bangga raih pingat emas meskipun tidak beraya di Malaysia

BANGGA: Mohd Hafifi menunjukkan pingat emas kepada ibunya, Norizan Embong dan sebahagian adik beradiknya sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu semalam. — Gambar Bernama

SEPANG: Pemilik pingat emas acara angkat berat Sukan Komanwel 2014, Mohd Hafifi Mansor mengakui Aidilfitri kali ini paling bermakna baginya sekalipun berjauhan daripada keluarga demi memperjuangkan nama Malaysia di Glasgow, Scotland.

Penyumbang pingat emas pertama kontinjen negara itu berkata beliau bangga kerana berjaya menepati sasaran meraih emas bagi kategori 69kg.

“Saya berasa lega kerana telah raih pingat emas namun secara peribadinya ada sedikit rasa tidak puas hati dengan angkatan yang saya dilakukan di sana,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini malam kelmarin.

Mohd Hafifi, 24, yang mengambil bahagian dalam kategori 69kg, menampilkan aksi cemerlang dengan jumlah angkatan 305kg menerusi snatch 135kg dan clean & jerk 170kg pada final di Scottish Exhibition and Conference Centre Precint, Scotland.

Mohd Hafifi berkata beliau berhasrat mahu meraih lebih banyak pingat emas terutamanya pada Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September ini dan Sukan Komanwel akan datang.

KILAUAN EMAS: Mohd Hafifi (kiri) dan Mohd Zulhelmi Pisol menunjukan pingat yang dimenangi ketika sambutan skuad angkat berat di KLIA di Sepang, Sabtu lepas. — Gambar Bernama

Sementara itu, mengulas tentang pencapaian atlet pelapis Mohd Zulhelmi Pisol yang meraih pingat perak acara angkat berat bagi kategori 56kg, Mohd Hafifi menyifatkan kejayaan itu di luar jangkaan dan sangat membanggakan.

“Kejayaan Zulhelmi menunjukkan atlet pelapis kita mempunyai peluang cerah dalam arena ini dan bakal mengharumkan nama negara pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Zulhelmi, 21, meraih pingat perak bagi kategori 56kg dengan jumlah angkatan 245kg.

Atlet yang berasal dari Pulau Pinang itu membuat angkatan 108kg dalam acara snatch dan 137kg bagi clean and jerk. — Bernama

Advertisement