Anda di sini

Sarawak Energy bantu promosi kraf tangan Penan di Murum

Advertisement

Oleh Nick Fletcher //

UNIK: Pelbagai jenis bakul dan sumpit yang dibuat sendiri oleh masyarakat Penan di Murum.

BEBERAPA kraf tangan menarik yang dihasilkan oleh masyarakat Penan di Murum kini sudah pergi ke luar negara sejak Sarawak Energy tampil menyokong kemahiran kesenian mereka.

Sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat yang ditempatkan semula itu kerana terjejas oleh projek hidroelektrik Murum, Sarawak Energy telah mengambil inisiatif untuk membina potensi masyarakat berkenaan menerusi kraf tangan.

Sarawak Energy baru-baru ini telah mula membeli beberapa kraf tangan halus untuk dijadikan sebagai cenderamata eksklusif kepada tetamu korporat syarikat.

TELITI: Salah seorang pembuat kraf tangan menganyam bakul.

Baru-baru ini, cenderamata tersebut telah telah diberikan kepada tetamu dari Oman.

Walaupun pengeluaran masih pada skala yang kecil, inisiatif ini secara tidak langsung memberikan peluang kepada masyarakat Penan untuk menghasilkan kraf tangan yang memenuhi jangkaan pasaran dan pada masa sama mendapat pendapatan tambahan.

Galakan ini juga telah menjadikan masyarakat tersebut lebih aktif dalam membuat kraf tangan.

Selain menganyam bakul, mereka juga mahir dalam jahitan manik, membuat parang, ukiran sumpit, alat muzik Sape dan sebagainya.

CANTIK: Hasil kraf tangan manik yang berwarna-warni amat sesuai dijadikan cenderamata.

Pengurus CSR (Pelaburan Sosial) Sarawak Energy Joanne Tan berkata kraf tangan masyarakat Penan adalah begitu luar biasa dan menarik.

“Kerja tangan mereka sangat halus… Sarawak Energy akan terus menyokong aktiviti kraf tangan masyarakat ini dan kami juga mahu memelihara tradisi serta budaya ini dengan menggalakkan orang muda untuk mempelajarinya,” katanya.

Dalam pada itu, Joanne berkata Sarawak Energy juga akan mengambil inisiatif dengan mengambil khidmat penyelidikan dalam reka bentuk dari sebuah universiti tempatan berhubung cara untuk memperbaiki kraf tangan ini dan membantu masyarakat terbabit menghasilkan produk tradisional dan kontemporari dengan nilai tambahan.

Menurutnya, semua ini sebahagian daripada rancangan pembangunan lestari syarikat bagi penduduk yang ditempatkan semula selain menyediakan satu lagi peluang bagi mereka mencari punca pendapatan.

Advertisement