Anda di sini

Rrangimong Boutique laris selepas Aidilfitri

Advertisement

Oleh Reno Benjamin //

TEMPAH: Ramzzi sedang menjahit manik pada baju pengantin yang ditempah khas.

SUDAH menjadi kelaziman selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, ramai pasangan mengambil kesempatan untuk mendirikan rumah tangga setelah sekian lama membuat perancangan.

Ini menjadikan pengusaha butik seperti Rrangimong Boutique tidak menang tangan dalam menerima serta menguruskan tempahan pasangan yang ingin menjadi Raja Sehari.

Menurut Ramzzi @ Arangi Mong, pengusaha Rrangimong Boutique, tempahan daripada pengantin yang ingin menggunakan khidmat butik mereka amat baik sekali setiap kali selepas Hari Raya.

Namun katanya, beliau hanya akan menerima tempahan untuk majlis persandingan dua atau tiga minggu selepas Hari Raya kerana ingin menyambut raya terlebih dahulu.

INDAH: Salah satu rekaan pelamin yang dihasilkan oleh Rrangimong Boutique.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, tempahan yang diterima setakat ini amat baik di mana jadual kita hampir penuh selepas Hari Raya sehingga Mac tahun depan,” ujarnya kepada Utusan Borneo.

Rranggimong Boutique yang terletak di Jalan Kampung Datu menawarkan khidmat sewa pakaian pengantin dan aksesori, solekan, majlis bertunang, makan malam, pelamin mini serta hantaran.

Selain itu, ia juga menerima tempahan untuk baju pengantin dan jahitan manik, baju Melayu, baju kurung, baju kebaya dan baju kebaya moden.

Menurut Ramzzi, beliau juga menerima banyak tempahan bagi baju pengantin di mana setakat ini lebih 20 pasang baju pengantin telah diterima daripada bakal Raja Sehari.

“Trend kini ramai pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan tidak mahu menyewa baju atau menggunakan baju yang telah digunakan oleh orang lain.

“Mereka lebih suka menempah baju pengantin untuk diri sendiri sebagai satu kenangan. Mereka juga tidak kisah pasal harga,” jelasnya yang telah menjalankan perniagaan butik ini sejak sembilan tahun lepas.

PELBAGAI PILIHAN: Baju pengantin yang disediakan untuk bakal pengantin.

Difahamkan, sepasang baju pengantin yang ditempah khas ini boleh disiapkan dalam masa satu atau dua minggu, bergantung kepada rekaan yang dipilih.

Juga bergantung kepada hiasan yang dipilih seperti manik, baju pengantin ini mampu mencecah harga RM450 dan ke atas.

Menyentuh mengenai harga pakej bagi sesuatu majlis perkahwinan atau persandingan, Ramzzi berkata harga yang dikenakan bermula daripada RM1,800 dan ke atas.

“Namun kita juga kadang-kala perlu melihat bajet pelanggan yang ingin menggunakan khidmat kita. Tidak semua berkemampuan namun pada masa sama mereka mahu menggunakan perkhidmatan kita,” katanya.

Selain pasangan Melayu ujar Ramzzi, pasangan dari kaum lain turut menggunakan perkhidmatan beliau terutama bagi menghias pelamin dan sebagainya.

Menurut Ramzzi, beliau mempunyai pelbagai jenis rekaan serta tema pelamin yang boleh dipilih oleh pelanggan, selain mampu menyediakan rekaan pelamin mengikut cita rasa pelanggan itu sendiri.

Pelanggan beliau tidak hanya setakat dari Sibu sahaja, malah sehingga ke Sabah, Labuan, Limbang dan Miri.

Beliau juga pernah menerima tempahan sehingga ke Belawai dan Rejang.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh datang terus ke Rrangimong Boutique di No.10G, Lot 1736, Blok 4, Jalan Kampung Datu atau menghubungi Ramzzi melalui talian 019-8881913.

Advertisement