Anda di sini

Jing Yi mara ke separuh akhir

Advertisement

GLASGOW: Pemain badminton negara Tee Jing Yi menggembirakan kontinjen Malaysia apabila beliau layak ke peringkat separuh akhir perseorangan wanita di Emirates Arena di sini Jumaat lepas.

Pada peringkat suku akhir Jumaat lepas, Jing Yi diberi saingan yang hebat oleh P C Thulasi dari India, malah tunduk 18-21 pada set pertama tetapi bangkit untuk memenangi dua set seterusnya dengan keputusan 21-19 dan 21-19 dalam perlawanan yang memakan masa 73 minit.

Beliau seterusnya akan bertemu dengan Kirsty Gilmour dari Scotland pada peringkat empat terakhir.

Gilmour mengetepikan Michelle Chan dari New Zealand 21-9 dan 21-10 untuk menempah tiket separuh akhir.

“Saya sangat gembira kerana mara ke peringkat separuh akhir. Saya membuat banyak kesilapan pada set pertama tetapi saya berjuang dengan segala yang saya miliki pada set kedua dan set penentuan untuk menang.

“Selepas mengetahui perseorangan lelaki kita gagal melepasi peringkat suku akhir, saya berazam untuk menang kerana saya seorang yang masih tinggal (dalam acara perseorangan),” kata Jing Yi yang bermain buat julung kali di Sukan Komanwel.

Menyertai Jing Yi pada peringkat separuh akhir adalah pasangan beregu lelaki Malaysia, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, pasangan beregu campuran Chan Peng Soon dan Lai Pei Jing serta pasangan beregu wanita, Lim Yin Loo-Lai Pei Jing.

Pada peringkat suku akhir, Tan/Goh menewaskan Ross Smith dan Robbin Middleton dari Australia 21-17 dan 21-19 manakala Chan/Lai mengatasi Danny Chrisnanta dan Vaneesa Neo dari Singapura 21-18, 17-21 dan 21-19.

Chan/Lai akan bertemu dengan Chris Langridge-Heather Oliver dari England pada peringkat separuh akhir esok.

Lim/Lai menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan Shinta Mulia Sari-Lei Yao dari Singapura 19-21, 22-20 dan 21-19 dan akan menentang Jwalla Gutta-Ashwini Ponnappa dari India.

Tan/Goh perlu mengatasi pasangan Inggeris Andrew Ellis dan Chris Adcock untuk mara ke peringkat akhir. — Bernama

Advertisement