Anda di sini

Pembenihan awan atasi kemarau

Advertisement

KUCHING: Pembenihan awan akan dilakukan di beberapa daerah secepat mungkin bagi mengatasi masalah kemarau di negeri ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, operasi pembenihan awan akan dilakukan di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei.

“Saya telah mengarahkan setiausaha daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini (Isnin) dan meminta mereka melakukan pembenihan awan di kawasan-kawasan ini dengan segera,” katanya.

Jabu yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani di sini kelmarin.

Mengenai masalah bekalan air bersih dihadapi di bahagian Betong khususnya di daerah Betong dan Sarawak, Jabu berkata ketika ini beliau bekerja sama dengan Residen Betong Datu Romie Sigan Daniel meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (Betong) menghantar bantuan bekalan air ke kawasan-kawasan terjejas.

“Bantuan bekalan air dalam bentuk tangki air dan kotak mengandungi botol air minuman akan dihantar ke kawasan-kawasan kritikal di Saratok, Betong, Roban, Debak, Spaoh, Beladin, Pusa dan Maludam,” jelasnya.

Selain itu katanya, beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar dan Ahli Parlimen Betong Datuk Seri Douglas Uggah Embas akan turut menyumbang menerusi geran projek kecil luar bandar (MRP) bagi memastikan bekalan air dihantar sekurang-kurangnya 10 kali sehari ke daerah Betong.

“Saya juga diberitahu bahawa Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom akan memberi bantuan menerusi MRP untuk mengangkut air sekurang-kurang 10 hari ke pelbagai kawasan di Sarawak,” katanya.

Advertisement