Anda di sini

TEKAD BURU MILITAN

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan pemantauan rapi terhadap segala aktiviti berkaitan militan terutamanya di kawasan sempadan dan perairan negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, rakyat tidak perlu berasa bimbang berikutan PDRM mempunyai keupayaan dari segi kemampuan, maklumat risikan serta kerjasama serantau dalam membendung aktiviti militan di sini.

“Sehubungan itu, apa yang berlaku sekarang bukan bermakna polis tidak tahu adanya kegiatan itu namun kita menunggu masa, maklumat tepat serta bukit sebelum bertindak.

“Namun kita hanya bertindak berlandaskan undang-undang negara ini seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) semenjak Akta Keselamatan Negeri Malaysia (ISA) dimansuhkan tidak lama dahulu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, PDRM tidak boleh bertindak melulu untuk memberkas mana-mana individu tanpa bukti kukuh berhubung penglibatan dalam sesuatu kumpulan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemakaian Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 2014 kepada 201 bekas pegawai dan anggota polis yang berkhidmatan ketika zaman darurat tahun 1948 hingga 1974 di Sabah.

Pingat berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Sementara itu, ketika mengulas berhubung isu militan, Mohd Bakri berkata pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang dikenalpasti terlibat dengan aktiviti berkenaan.

Beliau merujuk kepada kumpulan Darul Islam yang berpusat di negeri ini dan masih wujud serta aktif menjalankan latihan-latihan tertentu.

“Kita sedang memantau kumpulan militan yang terdiri daripada warga tempatan serta mendapat latihan di negara jiran, kembali ke Malaysia sebelum bersedia berjihad di negara ketiga.

“Pemantauan rapi giat dijalankan temasuk ke atas kumpulan Darul Islam di negeri ini dan mengkaji tindakan susulan berdasarkan landas undang-undang negara,” katanya pada sidang media sama kelmarin.

Mohd Bakri dalam pada itu turut menjelaskan PDRM sendiri amat memandang serius aktiviti militan di negara ini berikutan kejayaan tangkapan-tangkapan di Kedah, Selangor, Perak dan Sabah tempoh hari.

Advertisement