Anda di sini

Trio import kembali beraksi

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Memberi tonik baharu kepada Sarawak menjelang kempen Piala Malaysia pada September ini

KUCHING: Kehadiran semula tonggak utama trio pemain import Muamer Salibasic, Gabor Gyepes dan Hassan Mohamad memberi tonik baharu kepada Sarawak menjelang kempen Piala Malaysia yang dijangka berlangsung pada September depan.

Ketua Jurulatihnya, Robert Alberts berkata proses pemulihan ketiga-tiga pemain berjalan dengan baik dan dijangka dapat pulih sepenuhnya menjelang bermulanya kempen Piala Malaysia.

“Proses pemulihan ketigatiga pemain menunjukkan perkembangan positif dan mereka dijangka dapat beraksi semula tidak lama lagi.

“Ini petanda baik buat skuad kita kerana mereka dapat memperkuatkan semula pasukan Sarawak untuk menghadapi Piala Malaysia nanti,” katanya di sini semalam.

Alberts mengaku ketiadaan ketiga-tiga pemain itu amat dirasai semasa saingan Liga Super sambil berharap kehadiran semula mereka dapat membawa Sarawak sejauh mungkin pada kempen itu nanti.

Sementara itu, Alberts juga menggesa pemain-pemainnya agar menggunakan perlawanan persahabatan di Jakarta sebagai landasan meningkatkan semula prestasi mereka sebelum bersaing pada Piala Malaysia.

“Perlawanan ini sangat penting untuk meningkatkan semula prestasi pemain sebagai persediaan menghadapi Piala Malaysia,” ujarnya.

Katanya, Sarawak meletakkan sasaran untuk pergi lebih jauh pada kempen kali ini.

“Sukar untuk meramal peluang kita kerana ia bergantung kepada undian di peringkat kumpulan. Namun, pemainpemain telah berikrar untuk memberikan yang terbaik dan berusaha membawa Sarawak sejauh mungkin kali ini,” tambah Alberts.

Sarawak berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir pada kempen Piala Malaysia tahun lalu sebelum tunduk kepada Pahang dengan agregat 4-2.

Advertisement