Anda di sini

Pensyarah UM antara lima terlibat aktiviti militan

Advertisement

Dipercayai bersembunyi di selatan Filipina, dikenal pasti melalui 19 anggota yang sudah ditangkap

KUALA LUMPUR: Seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) adalah antara lima rakyat Malaysia yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan militan di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan di sini semalam, berkata pensyarah itu yang dikenali sebagai Dr Mahmud Ahmad atau Abu Hanzalah, 36, dari Taman Selayang Baru, Batu Caves.

Turut dikenal pasti ialah pemilik kedai fotostat dan alat tulis di UM, Mohd Najib Husen atau Abraham, 36, yang tinggal di Pangsapuri Tainia, Kota Damansara dan kakitangan Jabatan Urusetia Majlis Perbandaran Selayang Muhammad Joraimee Awang Raime atau Abu Nur, 39, yang tinggal berdekatan kawasan perumahan Mahmud.

Dua lagi berasal dari Tawau, Sabah iaitu Mohd Amin Baco, 31, dari Kampung Titingan dan seorang buruh Jeknal Adil atau Jek, 30, dari Kampung Kurnia Jaya.

Menurut Khalid mereka dikenal pasti hasil siasatan terhadap 19 anggota militan yang ditangkap oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman sejak 28 April lalu, kini dipercayai bersembunyi di selatan Filipina.

“Tiga daripada mereka disyaki terlibat dalam merekrut dan mengatur pemergian anggota-anggota militan dari negara ini untuk menyertai Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Syria.

“Dua lagi merupakan anggota Darul Islam Sabah yang kini menyertai kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) di selatan Filipina,” katanya.

Khalid meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kelima-lima mereka agar menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Hazil Azhar dari Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas di talian 03-22667010 atau 011-21046850 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Orang ramai juga boleh menghantar e-mel kepada [email protected], katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin berkata Mahmud yang merupakan warga akademik Akademi Pengajian Islam universiti itu sejak 8 Jun 2011 didapati gagal hadir bertugas tanpa sebab sejak empat minggu lalu.

Pihak UM khasnya Akademi Pengajian Islam, tidak dapat menghubungi Mahmud melalui pelbagai medium komunikasi termasuk panggilan telefon, e-mel, alamat kediaman serta bertanyakan kepada waris dan keluarga, namun beliau masih gagal dikesan serta gagal menghadirkan diri untuk bertugas, katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohd Amin berkata pihak universiti juga sudah memulakan tindakan tatatertib terhadap Mahmud menurut Peraturan 24, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatertib) 1993.

“Peraturan ini menetapkan mana-mana pegawai yang tidak hadir bertugas tujuh hari bekerja berturut-turut dan usaha-usaha sewajarnya untuk mencari serta mengesan pegawai telah dilakukan tetapi masih gagal boleh dikenakan tindakan tatertib sehingga dibuang kerja.

“Selaras itu, pendedahan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini (semalam) mengesahkan bahawa beliau (Mahmud) merupakan seorang suspek, maka pihak UM mengambil maklum perkara ini. Ingin ditegaskan UM tidak mempunyai apa-apa maklumat kegiatan luar Mahmud, khasnya yang berkaitan aktiviti militan,” katanya.

Beliau juga berkata pihak UM menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan selanjutnya dan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan.

Mohd Amin turut menegaskan pihak UM tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana kakitangan akademik, staf mahupun pelajar yang terlibat dengan aktiviti militan, baik secara langsung ataupun tidak dan tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan yang ada.

Menyentuh mengenai Mohd Najib, beliau berkata pemilik kedai fotostat dan alat tulis di UM itu bukan kakitangan universiti.

Seorang pelajar Mahmud yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 23, yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Akidah dan Pemikiran Islam memberitahu Bernama pensyarahnya itu seorang yang lembut.

Katanya kali terakhir beliau berjumpa dengan Mahmud ialah pada Mac lepas, sebelum Mahmud tidak hadir memberi kuliah.

Sementara itu menurut sumber polis, Mahmud disyaki pernah menerima latihan ketenteraan daripada Al-Qaeda di Afghanistan pada akhir 1990-an ketika belajar di sebuah Universiti di Pakistan.

Mahmud juga dipercayai telah merekrut serta menghantar empat rakyat Malaysia termasuk Ahmad Tarmimi Maliki yang dikenali sebagai pengebom berani mati pertama dari Malaysia, ke Syria, katanya.

Mahmud juga didakwa telah mengatur pertemuan dengan pemimpin militan Asia Tenggara bagi menubuhkan Daulah Islamiyah Asia Tenggara dan dilaporkan ke Filipina pada 22 April lalu.

Muhammmad Joraimme pula dipercayai bertanggungjawab dalam menghasut dan menggalak rakyat Malaysia untuk berjihad di Syria, dan telah ke Filipina pada 22 April lepas untuk menjalani latihan ketenteraan militan di sana, menurut sumber polis itu.

Sementara itu, kenalan Muhammad Joraimme, Anggota Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Fauzan Madzlan, 32, melahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan kenalannya selama lapan tahun itu yang dikenali semasa belajar di Mesir, terlibat dalam aktiviti militan.

“Dia seorang yang lemah lembut, suka bersilat dan saya tidak terfikir beliau akan pergi ke tahap itu. Biarlah kita serahkan perkara ini kepada polis untuk menyiasatnya.

“Dia pernah pergi ke Mindanao, selatan Filipina tetapi atas sebab menghulurkan bantuan kemanusiaan dan tak pernah pula dia sebut mengenai latihan ketenteraan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, Muhammmad Joraimme telah ditamatkan kontrak bersama MPS pada Mei lalu setelah tidak hadir bekerja tanpa sebab. — Bernama

Advertisement