Anda di sini

Macam reban ayam

Advertisement

Oleh Kepu Sidi //

Dua beradik yang hidup serba daif terpaksa tinggal di dalam pondok yang dibina daripada buluh, papan buruk.

PAKAN: “Kami pasrah dengan keadaan yang dihadapi sementara menanti nafas terhenti.”

Demikianlah luahan hati dua beradik, Unal Umpur dan Esik Umpur yang hidup dalam serba daif dan dibelenggu kemiskinan.

Penolong Khas Ahli Parlimen Sarikei Rinda Alexander yang melawat dua beradik itu berkata, kedaifan itu tidak hanya daripada satu aspek sahaja tetapi merangkumi semua perkara.

“Dua beradik ini berusia dalam lingkungan 40-an dan tinggal di dua pondok berasingan di kawasan Hulu Empit dekat Rumah Lidam, Pakan.

“Secara umumnya, dua pondok milik dua beradik ini tidak dilengkapi sebarang kemudahan yang biasanya dimiliki oleh orang lain pada masa kini.

“Pondok mereka berdua hanya dibina dengan menggunakan buluh dan papan yang sudah buruk dan hanya menunggu masa untuk menyembah bumi,” kata Rinda.

Menurutnya, selain dibelenggu kemiskinan dua beradik terbabit turut berhadapan dengan masalah kesihatan.

Keadaan ini banyak menjejaskan kehidupan mereka.

Rinda berkata salah seorang daripada mereka mengalami masalah kecacatan kaki manakala seorang lagi mengalami masalah pendengaran.

“Kebanyakan kehidupan harian dua beradik itu dihabiskan dengan mencari sumber makanan bagi meneruskan kehidupan harian mereka.

“Apa yang jelas, untuk meneruskan hidup mereka berdua terpaksa bergantung kepada hasil hutan di kawasan berdekatan sebagai sumber makanan untuk meneruskan hidup.

“Sungguhpun demikian salah seorang daripada mereka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

“Begitupun, jumlah tersebut tidak mampu menampung kos hidup yang kian meningkat saban hari dan hanya mencukupi untuk membeli barang dapur sahaja,” ujar Rinda.

Sementara itu, seorang lagi tidak menerima sebarang bantuan walaupun telah membuat permohonan beberapa kali.

Menurutnya, berdasarkan keterangan diberikan dua beradik itu juga, mereka sangat jarang pergi ke pasar atau pekan berdekatan.

“Selalunya bagi mendapatkan barang keperluan mereka berdua kerap memohon bantuan daripada penduduk rumah panjang berhampiran.

“Selain itu, untuk pergi ke pondok kediaman dua beradik tersebut kami terpaksa menggunakan laluan denai dan mengharungi sungai,” ujarnya.

Dalam kunjungan terbabit, Rinda bersama rombongan turut menghulurkan beberapa sumbangan berbentuk bahan makanan kepada dua beradik terbabit.

Advertisement