Anda di sini

Beri laluan kepada orang muda: Dr Sim

Advertisement

MIRI: Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senator Dr Sim Kui Hian menggesa rakan-rakan atau muka-muka lama dalam parti itu untuk memberi laluan kepada golongan muda, bagi memupuk dan membimbing mereka supaya dapat mengambil tanggungjawab menerajui parti pada masa depan.

Berucap semasa Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun SUPP Ke-55 di sini, malam kelmarin, Dr Sim mengibaratkan kenyataan beliau itu kepada pepatah Cina, ‘kekayaan tidak boleh bertahan selama tiga generasi’, yang mengatakan bahawa akan ada masa untuk ‘askar’ (orang) lama berundur, bagi memberi laluan kepada orang yang lebih muda.

Justeru katanya, ia juga adalah masa orang-orang lama tersebut, mendidik orang-orang muda ke jalan yang benar dan hala tuju perjuangan mereka dalam parti.

“SUPP telah lama berkhidmat untuk rakyat Sarawak terutama mereka yang serba kekurangan.

“Ada masanya kita berada di atas dan ada masanya kita di bawah, tetapi masa depan masih belum pasti dan saya percaya ia tidak semudah seperti yang kita mahukan, seperti mana ketika kita bermula dulu.

“Oleh sebab itu, kita mesti menyediakan barisan muda dan pemimpin pelapis parti yang berdisiplin dan berperikemanusiaan, untuk berkhidmat dan membela rakyat,” katanya.

Dr Sim memberitahu cabaran yang dihadapi oleh parti sejak kebelakangan ini, adalah ujian kepada ahli-ahli parti itu dan para penyokong mereka untuk mengenal pasti orang-orang yang baik dan berniat jahat terutama terhadap parti.

“Oleh itu saya menyeru kepada semua ahli parti ini supaya berkhidmat dengan ikhlas dan dengan bermaruah, kita harus bersatu kerana ia adalah perisai yang terbaik untuk kita menghadapi sebarang pertempuran dalam apa jua perjuangan yang akan kita harungi,” katanya.

Majlis makan malam tersebut telah dirasmikan oleh Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin dan turut dihadiri bekas Presidenn Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.

Advertisement