Anda di sini

IPG Batu Lintang berhasrat perluas Karnival Matematik

Advertisement

KUCHING: Jabatan Matematik Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang berhasrat untuk memperluaskan Karnival Matematik dan Pertandingan Abakus dan Arimetik Mental ke peringkat antarabangsa.

Pengarah IPG Batu Lintang Awang Hambali Awang Hamdan berkata, langkah itu dapat menggalak serta meningkatkan penguasaan Matematik di kalangan tenaga pengajar dan pelajar.

“Hasrat ini selari dengan matlamat yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang berkehendakkan setiap pelajar mahu pun tenaga pengajar dapat menguasai subjek Matematik dengan baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Karnival Matematik di IPG Batu Lintang di sini, semalam.

Justeru, Hambali menyeru agar lebih banyak agensi kerajaan dan swasta tampil menjayakan karnival yang banyak memberi manfaat kepada pembangunan pelajar di sini.

“Matematik adalah satu bidang ilmu yang menjadi keperluan dalam kehidupan seharian kita, sebab itu pentingnya kita menyediakan platform untuk anak-anak kita mendalami dan menguasai ilmu ini,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau amat berterima kasih atas sokongan dan tajaan Yayasan Sarawak dan Syarikat UCMAS dalam menjayakan karnival itu.

“Kerjasama pihak kerajaan dan swasta ini penting dalam usaha kita bersama-sama membangunkan rakyat,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau memberitahu IPG Batu Lintang akan meneruskan kerjasama itu dalam membantu pelajar menguasai subjek Matematik dengan lebih berkesan.

Dalam pertandingan yang disertai 23 sekolah dari Kuching, Padawan dan Kota Samarahan itu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No.3 dinobatkan juara keseluruhan.

Hadir sama Timbalan Pengarah IPG Batu Lintang Jamiran Salam, Presiden UCMAS Dr Dino Wong, Ketua Jabatan Matematik IPG Batu Lintang Lim Boon Yann dan tetamu kehormat lain.

Advertisement