Anda di sini

MBM ambil tindakan lebih tegas jika tandas kotor

Advertisement

Oleh Steve Annuar

 

MIRI: Pengusaha restoran dan kedai kopi di sini bakal berdepan tindakan lebih tegas oleh pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) sekiranya tandas didapati kotor ketika operasi penguatkuasaan bulan depan.

Selain itu, mereka juga diingatkan untuk menjaga kebersihan lorong belakang restoran dengan tidak membuang sampah sesuka hati dan menggunakan sepenuhnya tong sampah yang disediakan oleh pihak berkuasa.

Datuk Bandar Lawrence Lai berkata, pemeriksaan ke atas semua premis makanan di sini akan dilakukan dalam Ops Patuh 8 pada bulan depan.

“Jangan sekali beralasan tidak dimaklumkan awal tentang operasi ini. Fokus kita dalam Ops Patuh kali ini adalah kebersihan tandas dan lorong belakang,” tegas beliau semasa mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MBM semalam.

Menurut Lawrence, kawasan tumpuan utama penguatkuasaan pada peringkat pertama adalah di kawasan pusat bandar raya, pusat komersil Pelita dan pusat komersil Morsjaya.

Operasi turut melibatkan pemeriksaan terhadap pusat-pusat tong sampah di semua pusat komersil.

Ops Patuh MBM dilancarkan pada 25 Jun 2010 yang melibatkan pemeriksaan lesen perniagaan dalam Ops Patuh 1, aktiviti peniagaan haram dalam Ops Patuh 2, penyalahgunaan kawasan belakang kedai dalam Ops Patuh 3 dan kegiatan tidak bermoral di rumah urut dan refleksologi dalam Ops Patuh 4.

Ops Patuh 5 pada 12 Mei 2011 melibatkan kakitangan penguat kuasa MBM, polis, Syarikat SESCo Berhad, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula membabitkan pemeriksaan di kelab malam, diskotik, bar, pub, lounge dan karaoke, termasuk pusat permainan snuker dan biliard serta kafe siber.

Selain lesen, pemeriksaan turut tertumpu kepada aspek keselamatan premis perniagaan, penyalahgunaan pekerja asing dan penglibatan pengusaha dalam aktiviti-aktiviti haram seperti penyalahgunaan dadah dan tawaran khidmat seks.

Sementara itu, Ops Patuh 6 yang dilancarkan Januari tahun lalu menumpu kepada usaha mengurangkan aktiviti peniagaan haram dan penyalahgunaan kaki lima dan lorong belakang oleh pemilik restoran dan kedai.

Manakala, Ops Patuh 7 melibatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menyasarkan hotel yang tidak berlesen, rumah penginapan, rumah tumpangan dan inap desa di sekitar pusat bandar raya menumpukan aspek keselamatan.

Advertisement