Anda di sini

Sarawak gagal halang JDT julang Liga Super

Advertisement

KUCHING: Skuad Ngap Sayot gagal menghalang Johor Darul Takzim (JDT) untuk menjulang mahkota juara Liga Super buat julung kalinya musim ini apabila menang tipis 1-0 di Stadium Negeri, malam tadi.

Gol kemenangan JDT dijaringkan oleh penyerang importnya, Jorge Pereira Diaz pada minit ke-66 setelah berjaya menembusi benteng pertahanan Sarawak.

Bagaimanapun, Sarawak beraksi cemerlang dengan sokongan padu hampir 20,000 penyokong setia dan melancarkan beberapa serangan bahaya ke kubu pasukan pelawat sebaik wisel pertama dibunyikan oleh pengadil perlawanan.

Pada minit ke-33, giliran penyerang import Sarawak Ryan Griffiths hampirhampir meledakkan jaringan namun gagal menyambar kemas bola hantaran cantik rakan sepasukannya, S Chanturu untuk menghasilkan gol.

Meskipun kedua-dua pasukan sering berbalas serangan sepanjang tempoh 45 minit babak pertama namun di papan layar masih berkedudukan 0-0.

Babak kedua, Sarawak cuba menyusun langkah lebih anggun dan bermain baik dengan memasukkan pemain kebangsaan, Ashri Chuchu bagi menggantikan Rasyid Aya.

Kemasukan Ashri memperlihat jentera serangan Sarawak bertindak lebih agresif untuk memburu jaringan namun Ryan melakukan sepakan percuma berjaya ditangkap kemas penjaga gol JDT.

Bagaimanapun, JDT melakukan kejutan dengan jaringan tunggal yang dilakukan oleh pemain importnya, Jorge Pereira Diaz pada minit ke-66 berpunca salah faham benteng pertahanan Sarawak.

Jaringan itu ternyata menyentap semangat juang tinggi buat anak-anak buah Robert Alberts bertindak lebih hebat untuk memburu kemenangan bermaruah.

Meskipun minit-minit terakhir Sarawak melancarkan serangan bertali arus namun gagal menghasilkan jaringan dan JDT tetap gah dengan kemenangan 1-0 untuk bergelar juara Liga Super 2014.

Sementara Selangor kekal menduduki tangga kedua liga setelah seri 2-2 ke atas jiran tetangganya, PKNS.

Advertisement