Anda di sini

Portugal berdepan penyingkiran awal

Advertisement

BRASILIA, Brazil: Cristiano Ronaldo dan Portugal berdepan penyingkiran awal di Piala Dunia 2014 hari ini walaupun jika mempamerkan aksi luar biasa apabila menentang Ghana.

Ronaldo tiba pada Piala Dunia sebagai antara pemain harapan negaranya, bersamasama Lionel Messi (Argentina) dan Neymar (Brazil) kerana statusnya sebagai bintang bola sepak terkenal.

Tetapi, ketika Messi dan Neymar mempamerkan aksi menarik untuk membantu pasukan mereka layak ke pusingan kedua, Ronaldo sebaliknya memberikan fokus kepada tahap kecergasannya selepas mempunyai masalah dengan kecederaan lutut kiri.

Portugal – yang berada di tangga keempat ranking FIFA dunia – berada di tangga terbawah Kumpulan G dengan satu mata dari dua perlawanan menentang Jerman dan Amerika Syarikat (AS), yang berkongsi empat mata di tangga teratas.

Mereka dimalukan 0-4 oleh Jerman sebelum memerlukan gol penyamaan lewat 2-2 ketika menentang AS.

Walaupun gol penyamaan lewat itu, banyak ramalan meletakkan AS dan Jerman akan layak ke pusingan kedua, dengan Portugal dan Ghana, yang juga mengutip satu mata, akan tersingkir awal.

Portugal menegaskan sepanjang kejohanan di mana Ronaldo berada dalam keadaan cergas tetapi beliau gagal menyerlah seperti ketika bermain untuk kelabnya, Real Madrid dan mengakui tugas pasukannya kini sangat sukar.

Ronaldo kelihatan tenang selepas perlawanan menentang AS dengan mengakui bahawa pasukannya, walaupun mempunyai kedudukan ranking yang tinggi, tidak pernah pasukan pilihan untuk menjulang Piala Dunia.

“Saya tidak pernah fikir kami akan menjadi juara dunia. Kami harus merendah diri dan menyedari kemampuan kami. Ada perkara yang tidak dapat kami lakukan, seperti berlari pantas atau mempunyai lebih banyak kualiti,” kata beliau.

“Ketika ini, ada pasukan yang lebih baik dan pemain yang lebih baik berbanding kami,” kata beliau.

Portugal yang dibimbing Paul Bento, juga berdepan dengan penggantungan pemain pertahanannya, Pepe, selepas menerima kad merah pada perlawanan menentang Jerman dan kecederaan Fabio Coentrao, yang menyebabkan beliau tidak dapat bermain untuk baki kejohanan. — AFP

Advertisement