Anda di sini

Jadikan perayaan suku kaum landasan jayakan gagasan 1Malaysia

Advertisement

SEBUYAU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mahu setiap perayaan diraikan pelbagai suku kaum di negara ini dijadikan sebagai landasan menjayakan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

Menurutnya, adalah wajar setiap perayaan diraikan bersama tidak mengira di Sarawak mahupun Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Kita melakukan kunjung- mengunjung kepada saudara-mara dan rakan-rakan, sahabat-handai atau jiran tetangga tanpa mengira kedudukan, pangkat dan agama,” katanya pada Majlis Gawai ‘Ngiling Tikai’ di Balai Raya Kampung Sungai Lumut, Sebangan, Sebuyau kelmarin.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata, budaya kunjung-mengunjung adalah satu budaya unik dan harus diteruskan bagi menjamin perpaduan harmonis di kalangan rakyat berbilang kaum.

“Perpaduan rakyat berbilang kaum amat penting untuk kita terus maju. Seperti kita semua maklum, Sarawak mempunyai banyak kaum yang tinggal di seluruh pelosok negeri ini.

“Semua suku kaum diberi peluang saksama dan apa yang saya harapkan perpaduan yang baik hari ini bukan datang secara tiba-tiba sahaja.

“Justeru, penyertaan jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyumbangkan tenaga dan kemahiran mengelolakan aktiviti berbentuk perpaduan untuk mengekalkan perpaduan di negara kita amatlah dihargai,” katanya.

Turut hadir Penolong Pengarah Kastam Sarawak Abdul Karim Wahab, Kaunselor Asli Yahya, Penghulu Merum Babu, Penghulu Kendawang Ruik, Penghulu Hamdan Esamail serta Tuai Rumah Kampung Sungai Lumut Tuai Rumah Nillie Ranggu.

Pada majlis berkenaan, Rohani menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM5,000 masing-masing kepada 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sebuyau serta Kampung Sungai Lumut.

Advertisement