Anda di sini

Abdullah pastikan pembangunan di kawasannya akan dilaksanakan

Advertisement

BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol akan terus memastikan pembangunan seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih di kawasannya dilaksanakan.

Menurutnya, usaha itu mendapat sokongan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menyediakan peruntukan pembangunan termasuk di DUN Semop, lebih-lebih lagi rakyat di kawasan pedalaman yang memberi mandat kepada BN.

“Ketua Menteri (Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem) menggesa setiap wakil rakyat mesti komited memastikan pembangunan di kawasan masing-masing serta menangani kesulitan dihadapi rakyat.

“Justeru, kami (wakil rakyat) yakin setiap masalah dihadapi rakyat pasti disuarakan kepada kerajaan pusat/negeri bagi membantu melaksanakan pembangunan di setiap kawasan,” katanya pada Majlis ‘Ngiling Bidai’ di Rumah Peter Minggat, Sungai Mupong Ulin di sini, Sabtu lalu.

Hadir sama isterinya, Norashikin Ibrahim, Timbalan Residen Sarikei Badjuri Bidin, Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Meradong Morsili Bakar, Timbalan Pengerusi PBB Semop Kaunselor Tuai Rumah Nicholas Abu Seman, Ketua PBB Meradong Kaunselor Helmi Morsili serta Penghulu Augustine Pau.

Abdullah yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri terus mengutamakan keperluan rakyat di kawasan luar bandar mahupun pedalaman agar tidak ketinggalan dari segi pembangunan.

Jelasnya, kerajaan sedaya upaya menangani masalah dihadapi rakyat di rumah-rumah panjang.

Sementara itu, beliau menggesa kaunselor-kaunselor dan tuai -tuai rumah supaya memantau setiap projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di kawasan mereka.

Ini kerana, terdapat beberapa projek pembangunan dilaksanakan di kawasan luar bandar tidak mematuhi standard ditetapkan.

“Tanggungjawab tuai rumah memantau setiap projek kerajaan yang dilaksanakan di kawasan mereka.

“Jika ada sebarang masalah, sila laporkan kepada jabatan  berkenaan atau adukan kepada kaunselor supaya dapat diselesaikan,” ujarnya.

Abdullah berkata, beliau akan berbincang dengan jabatan  berkenaan mengenai permohonan penduduk Rumah Peter Minggat yang mahukan jalan raya dibina sejauh empat kilometer dari rumah panjang mereka ke Jalan Tanjung Manis/Sibu.

“Saya akan berbincang dengan Pejabat Residen untuk memohon kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) mempertimbangkan projek jalan raya tersebut untuk dilaksanakan.

“Jika jalan ini tidak besar atau tidak diturap dengan tar, ia boleh disimen dahulu asalkan dapat digunakan rakyat di sini,” katanya.

Terdahulu, Abdullah serta rombongan turut mengunjungi majlis yang sama di Rumah Seli Judi, Sungai Mupong dan berakhir di Rumah Anggi Enggol, Nanga Bangkit, Bintangor.

Advertisement