Anda di sini

Lapangan terbang: Kerajaan DAP P.Pinang ternyata tidak bertanggungjawab

Advertisement

GEORGE TOWN: Komen Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tentang isu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) mempamerkan sikap kerajaan negeri pimpinan DAP itu yang tidak mempunyai  kebertanggungjawaban, tidak telus dan tidak cekap, kata pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Teng Chang Yeow.

Teng berkata tindakan Lim menuduh beliau menentang pembesaran PIA adalah keterlaluan dan menunjukkan ketua menteri itu terdesak untuk mengalih isu berkenaan.

“Saya tidak pernah menentang pembesaran PIA. Saya hanya tidak bersetuju dengan pendekatan beliau (Lim) tentang pembesaran lapangan terbang itu apabila beliau meminta dua landasan. Beliau gagal menyokong permintaan itu dengan fakta dan angka.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa pandangan saya tentang pembesaran lapangan terbang itu ialah landasannya perlu dipanjangkan bagi menampung kegunaan pesawat lebih besar,” katanya bagi mengulas kenyataan Lim kelmarin.

Bercakap kepada pemberita semalam, Teng berkata beliau menyokong saranan Lim tentang pembinaan hab kargo dan kemudahan menyenggara, membaiki dan membaik pulih (MRO) kerana itulah rancangan awal Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk PIA ketika beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Teng juga mencabar Lim supaya mengikut jejak Koh yang berani mengumumkan angka pelaburan langsung asing (FDI) setiap tahun, tanpa mengira ia memberangsangkan atau sebaliknya.

“Ketua Menteri itu sekali lagi memperdaya orang ramai dengan menggabungkan angka bagi empat tahun mengenai FDI Pulau Pinang. Beliau mendakwa bahawa dari2010 hingga Ogos 2013, jumlah FDI ke Pulau Pinang berjumlah RM19.7 bilion atau hampir 20 peratus daripada jumlah FDI Malaysia.

“Beliau perlu bercakap benar. Malah, FDI ke Pulau Pinang merosot teruk dari 2010 hingga 2013 apabila ia berkurangan daripada RM10.4 bilion kepada RM1.7 bilion, jatuh hampir 82 peratus,” kata Teng.

Teng mengulangi bantahannya terhadap pembinaan sebuah lapangan terbang di Kulim, berbeza dengan Lim, yang memberi persetujuan bersyarat mengenainya.

“Pulau Pinang boleh kehilangan lapangan terbangnya kepada Kulim melalui persetujuan bersyarat itu” kata beliau. — Bernama

Advertisement