Anda di sini

PGA berusaha melakukan penambahbaikan

Advertisement

Ia untuk memastikan peranannya sentiasa relevan dengan kehendak masyarakat, kata Isa

Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan berusaha melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk memastikan peranannya sentiasa relevan dengan kehendak masyarakat.

Komander Briged PGA Sarawak Datuk Isa Munir berkata ini penting kerana masyarakat sekarang berkehendakkan PGA selaku unit sokongan utama dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa selari dengan kehendak masyarakat.

“Walaupun kita tidak dapat hendak penuhkan 100 peratus namun kita kena ikutkan juga kehendak masyarakat kerana kalau kita tidak ikut, peranan kita seolah-olah sudah tidak relevan lagi kepada masyarakat terutama dalam aspek menjaga keamanan dan ketenteraman awam,” katanya.

Apatah lagi katanya, Ketua Polis Negara (KPN) sekarang telah menekankan tiga perkara yang mengkehendaki polis berusaha sehabis-habisnya dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam, mengurangkan kadar jenayah dan mempertingkatkan integriti antara pegawai dan anggota.

“Ini bermakna saya selaku Komander Briged harus memastikan kehendak KPN itu diikuti sedaya upaya yang boleh iaitu memastikan PGA mesti memainkan peranan dalam tiga perkara yang ditekankan tersebut.

“Jadi untuk memastikan kita bersedia, saya kena pastikan pegawai dan anggota PGA sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk menjalankan apa jua operasi termasuk apa jua operasi besar-besaran sekiranya diperlukan,” katanya.

Isa memberitahu demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyematan Pangkat kepada 10 pegawai inspektor kanan dari seluruh negeri yang dinaikkan pangkat ke Asisten Superintenden Polis (ASP) yang berlangsung di Padang Kawat Batalion 12 (BN12)  PGA Miri di sini pagi semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pegawai Pemerintah BN12 PGA Miri Superintenden Mohammad Sar’ie Fauzi dan Ajutan Briged DSP Kamarulzaman.

Dalam pada itu, majlis tersebut diadakan sempena lawatan kerja sulung beliau ke kem berkenaan selepas mengambil alih tugas sebagai Komander Briged PGA Sarawak pada 18 Februari tahun ini.

Menurut beliau, lawatan ke BN12  merupakan siri lawatannya yang ketiga selepas melawat BN11 di Kuching dan BN10 di Sibu.

“Lawatan ini merupakan proses normal memandangkan saya baharu mengambil alih jawatan daripada Datuk Wan Abdillah yang bersara dan diharap dengan adanya lawatan sebegini, saya dapat meninjau apa yang telah dilaksanakan di sini terutama dari segi pentadbiran dan operasi.

“Pada masa sama, saya dapat mengetahui dengan lebih dekat tentang peranan dan fungsi BN12 serta pemasalahan yang dihadapi batalion ini,”katanya.

Dalam pada itu kata Isa, sebagai pasukan operasi am yang turut terlibat dalam pencegahan jenayah, PGA amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang awam dalam  menyalurkan maklumat kepada mereka.

Manakala 10 orang pegawai kanan inspektor yang telah dinaikkan ke pangkat ASP terdiri daripada ASP Jugah Aleng dan ASP Pabilah Abdullah daripada Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak, ASP Mohd Zamani Baharom dan ASP Juvrinh Adrian Labungan (BN10 PGA Sibu), ASP Morebon Manju, ASP Marshall Ajin, ASP Mivhael Lacius dan ASP Mohd Mazlan Mohd Ariss (BN11 PGA Batu Kawa) serta ASP Zawi Awang dan ASP Ramli Abdul Rahman (BN12 PGA Miri).

Advertisement