Anda di sini

Operasi IC Merah fokus kawasan ramai masyarakat India

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas bagi Masyarakat India (SITF) di bawah Jabatan Perdana Menteri menganggarkan terdapat lebih 30,000 orang di negara ini yang tidak memiliki taraf warganegara Malaysia, terutama masyarakat India.

Ketua penyelarasnya Datuk N.Siva Subramaniam berkata sehubungan itu satu kempen di seluruh negara akan dilancarkan dikenali sebagai ‘Operasi IC Merah’ untuk mendaftar semua pemegang kad pengenalan merah dan mempercepatkan permohonan mereka bagi mendapatkan taraf warganegara Malaysia.

Katanya urusan pendaftaran itu, yang akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), akan memberi fokus di kawasan yang mempunyai banyak anggota masyarakat India.

Sebagai permulaan, SITF akan menjalankan urusan itu di Kulim, Kedah pada 21 Jun sebelum beralih ke Beruas, Perak pada 29 Jun.

Siva berkata beberapa bandar di Selangor dan Johor turut dikenal pasti bagi urusan itu kerana dianggarkan 50 peratus pemegang kad pengenalan merah di kawasan berkenaan lahir di Malaysia.

“Masalah ini lebih ketara dalam kalangan masyarakat India memandangkan sejak tahun 60-an dan 70-an, kebanyakan mereka yang ber-kerja di ladang dan tinggal di kawasan setinggan, meman-dang ringan tentang keperluan memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Siva, yang juga bekas pesuruhjaya SUHAKAM, berkata sebagai pemegang kad pengenalan merah, golongan itu menghadapi pelbagai masalah, termasuk untuk mendapatkan pendidikan formal secara percuma, menjadi pengundi, menerima bantuan kebajikan dan mendapat subsidi apabila mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.

Oleh kerana tidak diterima bekerja dalam sektor awam dan swasta, golongan ber-kenaan hidup dalam keadaan miskin.

Siva berkata kerajaan me-nyedari masalah yang ditanggung golongan itu dan mengambil langkah untuk mengatasinya, termasuk melalui program MyDaftar, yang meluluskan 4,155 daripada 6,527 permohonan bagi mendapatkan taraf kerakyatan yang dikemukakan sejak Februari 2011.

Katanya kebanyakan permohonan ditolak kerana tidak mempunyai dokumen lengkap dan gagal dalam temuduga yang dijalankan agensi berkenaan.

Beliau berkata statistik SITF menunjukkan 1,479 daripada pemohon lahir sebelum Merdeka. — Bernama

Advertisement