Anda di sini

Pedalaman masih tempat penularan kusta

Advertisement

Oleh Sudan Ajang //

15 hingga 20 kes dilaporkan setiap tahun, bagaimanapun setakat ini ia masih terkawal, kata Dr Faizul
MIRI: Kawasan pedalaman Sarawak masih menjadi tempat utama penularan penyakit kusta dengan 15 hingga 20 kes dilaporkan setiap tahun.

Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr Faizul Mansoor berkata bagaimanapun setakat ini penyakit tersebut masih terkawal dan hanya dua pesakit sedang mendapat rawatan di sini.

Tanpa mendedahkan lokasi wabak berkenaan, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui jabatan kesihatan bahagian terus giat melaksanakan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat pedalaman untuk mengenal pasti jangkitan dan rawatan penyakit kusta.

“Penyakit kusta dapat dikesan dari awal dan dapat disembuhkan sekiranya diberi rawatan.

“Justeru, kementerian memberi tumpuan melatih masyarakat pedalaman mengenal pasti punca serta langkah membendung penyakit kusta,” katanya pada sidang media sambutan Hari Kusta Sedunia Peringkat Negeri Sarawak 2014 di Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, semalam.

Dr Faizul menambah, sejak beberapa tahun lalu kementerian melalui jabatan kesihatan mengadakan kursus pengesanan penyakit kusta melibatkan Wakil Kesihatan Kampung (WKK) dari beberapa kampung berdekatan di kawasan pedalaman yang dipilih.

“WKK adalah sukarelawan kampung yang dilatih untuk meningkatkan taraf kesihatan penduduk kampung.

“Kami berharap WKK yang dilatih berupaya mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit kusta dan merujuk kes ke klinik berdekatan untuk mendapat rawatan,” katanya.

Mengenai sambutan Hari Kusta Sedunia Peringkat Negeri Sarawak 2014, Dr Faizul berkata ia diadakan di Dewan Masyarakat Long Banga pada 24 Jun ini.

“Pada 24 Jun, satu kursus pengesan penyakit kusta melibatkan WKK dari kira-kira 14 kampung berdekatan Long Banga melatih penduduk tempatan di situ mengenal pasti penyakit tersebut,” katanya.

Beliau menambah, manakala pada keesokan harinya iaitu 25 Jun turut diadakan aktiviti pengesanan kes kusta di kawasan penempatan Penan di Long Lamai dan Long Beruang.

Turut diadakan saringan penyakit tidak berjangkit, perkhidmatan kesihatan dan pemeriksaan gigi, perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pameran kesihatan.

Katanya sambutan Hari Kusta di Long Banga adalah kerjasama pelbagai agensi iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, Samling Group of Companies, JKM, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Banga dan Yayasan Yaw Teck Seng.

Kempen itu dijangka dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau pada 26 Jun, jam 10 pagi.

Justeru, penduduk kampung di Long Banga dan sekitarnya dipelawa datang beramai-ramai pada sambutan Hari Kusta tersebut.

Hari Kusta Sedunia diadakan setiap tahun sejak 1954 bagi meningkatkan kesedaran awam tentang penyakit kusta dan pentingnya mendapatkan rawatan awal.

Penyakit ini dipercaya merebak melalui percikan cecair pernafasan diikuti faktor risiko termasuk persekitaran yang tidak bersih, tempat tinggal yang sesak, kekurangan zat makanan dan daya tahan badan yang lemah.

Tanda awal termasuk tompokan putih atau merah pada kulit yang hilang deria rasa dan urat saraf menjadi tebal.

Sekiranya tidak dirawat, penyakit kusta akan menyebabkan kecacatan muka, tangan, kaki dan buta.

Advertisement