Anda di sini

Tangani masalah kemurungan dan sakit mental

Advertisement

Oleh Henrietta Liza

 

KUCHING: Sebanyak 11 peratus orang dewasa dan lebih daripada 20 peratus kanak-kanak mengalami masalah kemurungan dan sakit mental di negara ini.

Menurut Ketua Perkhidmatan Teknikal, Psikiatri Kementerian Kesihatan Dr Toh Chin Lee perangkaan itu didapati daripada Survei Morbiditi Kesihatan Kebangsaan disebabkan faktor tekanan dan cara hidup yang semakin kompleks.

Justeru, Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-4 dari 12 hingga 14 Jun mengumpul seramai 300 delegasi dari seluruh negara untuk berbincang dan mencari penyelesaian bagi masalah itu.

“Amat menyedihkan apabila masalah kemurungan ini turut melibatkan kanak-kanak di bangku sekolah dan kita hendak mewujudkan kaedah rawatan luar yang boleh disyorkan oleh guru di sekolah itu sendiri.

“Bahkan, ibu bapa juga sekiranya melihat sebarang perbezaan terhadap anak mereka boleh membawa ke pusat-pusat di mana terletaknya perkhidmatan psikiatri kita bagi mendapatkan rawatan awal untuk anak mereka.

“Kita cuba pastikan bahawa rawatan boleh dilakukan berdekatan dengan komuniti untuk lebih berkesan dan lebih akses,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kesihatan Mental Sarawak Ke-4 di Hotel Riverside Majestic di sini, semalam.

Dr Toh juga mahu pendedahan media massa kepada orang awam tentang penyakit kemurungan diperhebatkan.

Selain itu, beliau berharap pihak media agar menyiarkan paparan yang lebih bertanggungjawab dan tidak mensensasikan hebahan mereka yang menghidapinya.

Justeru, katanya, pihaknya menjalankan rawatan psikiatri untuk tempoh jangka panjang di Hospital Sentosa, manakala rawatan pendek dijalankan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurut beliau lagi, hanya terdapat kira-kira 300 pakar psikiatri di Malaysia dan daripada jumlah itu, cuma 178 di bawah Kementerian Kesihatan.

“Mengikut piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setiap negara memerlukan seorang doktor kepada nisbah 10,000 populasi. Apa yang kita ada sekarang tidak menepati standard WHO, tetapi kita akan berusaha ke arah itu untuk seluruh negeri.

“Kita menggalakkan doktor mengambil pengkhususan psikiatri dan mendapat kepakaran menerusi pelbagai cara bukan sahaja melalui kursus bahkan menjadi ahli kepada ‘Royale College of Psychiatric UK’,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan rawatan luar juga diwujudkan untuk merawat doktor perubatan lain, namun beliau tidak dapat mendedahkan statistik klinikal berhubung perkara itu.

Setakat ini katanya, terdapat empat institusi mental dan 48 hospital kerajaan yang memberi perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental.

Persidangan dianjurkan oleh Persatuan Kesihatan Mental Sarawak, Hospital Sentosa Kuching, Jabatan Psikiatri Hospital Umum Sarawak dan Jabatan Perubatan Psikiatri UNIMAS dan disokong oleh Biro Konvensyen Sarawak.

Advertisement