Anda di sini

39 dicekup dalam Ops Dadu Khas, 121 set komputer dirampas

Advertisement

SIBU: Polis Sibu berjaya menahan 39 individu dan merampas 121 set komputer dalam lima serbuan ke atas premis perjudian siber haram menerusi Ops Dadu Khas, malam kelmarin.

Pasukan polis dari Balai Polis Pusat Sibu, Balai Polis Sungai Merah, Balai Polis Lanang dan Balai Polis Sibu Jaya melakukan serbuan ke atas lima premis perjudian siber haram selama tiga jam, bermula jam 8.30 malam.

Dua pasukan yang diketuai oleh ASP Herma Rakey dan Inspektor Fazirul Mohd Fisol menyerbu dua buah kedai di Jalan Pedada dan menahan 11 lelaki dan tiga wanita berusia antara 16 dan48 tahun serta merampas 35 set komputer.

ASP Wong Tee Kue yang mengetuai pasukannya pula menahan 14 individu termasuk seorang wanita berusia antara 20 dan 60 tahun di sebuah kedai di Upper Lanang dan merampas 29 set komputer.

Dalam serbuan lain, satu pasukan yang diketuai oleh ASP Kamaruddin menahan 10 individu yang berusia antara 17 dan 62 tahun dan merampas 44 set komputer, manakala Inspektor Kushairi Bujang yang mengetuai pasukannya menahan seorang wanita berusia 33 tahun serta merampas 13 set komputer.

 

Advertisement