Anda di sini

Penawar duka

Advertisement

SUAPAN HARI JADI: Fatimah (kiri) menyuapkan kek untuk Juliawati yang meraikan hari jadi ke-31 semalam ketika kunjungan ke kediamannya di Kampung Hulu, Serian.

Oleh Agnes Tugong //

NASIB dua beranak yang menyayat hati mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas kisah hidup daif mereka disiarkan oleh media, baru-baru ini.

Sudahlah terlantar sakit akibat strok yang menyerangnya sejak awal tahun 2013, kehidupan Jemali Bakar, 58, bertambah sukar kerana perlu menjaga anak perempuannya Juliawati, 31, yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Isterinya pula sudah lama meninggal dunia manakala makan minumnya kini bergantung penuh kepada adiknya, Jimaah Bakar dan anak lelakinya, Malek serta ihsan daripada penduduk kampung.

Prihatin dengan kehidupan daif dua beranak itu, JKM Daerah Serian semalam mengadakan kunjungan ke kediaman mereka yang terletak di Kampung Hulu, Serian bersama Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Pada kunjungan semalam, Fatimah mengesahkan bahawa Juliawati merupakan penerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan di bawah kategori OKU terlantar (BPT) sejak 2012.

Manakala bapanya, Jemali juga menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan bagi kategori bantuan pesakit terlantar (BPT) mulai Mei 2013.

Melihat kepada keadaan rumah mereka yang daif serta tidak praktikal untuk Jemali dan Juliawati yang ber­gantung penuh kepada kerusi roda, Fatimah turut mengarahkan Pejabat Daerah Serian untuk membaik pulih atau membina rumah baharu bagi keluarga itu.

“Bagi membantu menguruskan keperluan kedua-dua beranak ini teru­tama Juliawati, JKM juga telah melantik Norhayati Abdullah sebagai sukarela­wan di bawah Program Home Help Services (Khidmat Bantu Rumah).

“Menerusi pelantikan ini, Norhayati sebagai sukarelawan akan membantu menguruskan keperluan dua beranak ini setiap hari tidak kurang daripada tiga jam.

“Selain bantuan sukarelawan, pega­wai yang berkenaan juga akan sentiasa melawat klien di rumah untuk melihat serta memantau keadaan mereka,”  kata Fatimah.

Dalam pada itu, kunjungan JKM ke rumah dua beranak itu semalam disambut riang oleh Juliawati apabila Fatimah serta rombongan turut mer­aikan hari jadinya yang ke-31.

Oleh kerana Jemali tidak mahu berpisah dengan anaknya, maka pihak JKM berpendapat bahawa tiada keperluan untuk menghantar Juliawati ke pusat penjagaan.

Masalah kewangan bukan lagi isu kerana bantuan bulanan telah diurus oleh JKM Daerah Serian menerusi penjaganya, Jimaah.

Pada masa ini, urusan penjagaan klien diurus oleh seorang sukarela­wan yang dilantik oleh JKM Sarawak untuk membantu penjaga dan anak (Malek).

Masalah tempat tinggal juga akan selesai selepas mendapat Bantuan Bina Baru Rumah oleh Kementerian Perumahan Luar Bandar menerusi Pejabat Daerah Serian.

 

Advertisement