Anda di sini

Kerajaan tidak pernah pilih kasih

Advertisement

Oleh Mohd Achil Norrlatep

 

MIRI: Kerajaan tidak pernah bersikap pilih kasih dan meminggirkan sesuatu kaum atau etnik walaupun tinggal jauh di pedalaman sesebuah kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, bantuan kerap diagihkan secara adil dan saksama bagi kesejahteraan serta kestabilan hidup semua rakyat.

“Kerajaan tidak pernah meminggirkan sesuatu kaum hanya kerana tinggal jauh di kawasan pedalaman, malah sebaliknya kerap memberi yang sebaik mungkin,” katanya pada lawatan ke perkampungan Penan di Ba’ Balau, Hulu Tutoh.

Buktinya ialah di kampung berkenaan sahaja, kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) telah memperuntukkan sejumlah wang untuk membina gereja, jambatan, atap baharu dan banyak lagi kemudahan untuk keselesaan penduduk.

“Kerajaan juga telah meluluskan pembinaan jambatan baharu berjumlah RM200,000 demi keselamatan penduduk untuk menyeberang,” jelas beliau.

Dennis yang menjejak kaki buat kali kedua di kampung berkenaan sejak bergelar wakil rakyat turut mengingatkan 50 keluarga di kampung itu agar tidak menyokong mana-mana pergerakan anti Empangan Hidroelektrik Baram.

Katanya, ini adalah demi masa depan generasi akan datang yang seharusnya menikmati kehidupan terjamin dan lebih baik daripada generasi kini.

“Hidup mungkin tidak banyak berubah tanpa projek mega (empangan) dalam 50 tahun akan datang, saya percaya kehidupan kita tidak seharusnya begitu,” kata Dennis.

Pada masa sama, beliau berkata penentangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) asing atau individu tertentu terhadap syarikat pembalakan juga sesuatu yang tidak adil.

“Sebab saya difahamkan, mereka (syarikat balak) yang turut menolong anda semua bina jalan untuk berhubung dengan tempat lain,” katanya.

Dennis juga menekankan betapa pentingnya ibu bapa memberikan pendidikan  kepada anak-anak mereka walaupun kadang-kadang mengalami kesukaran hidup.

Advertisement