Anda di sini

Kerajaan peka keperluan rakyat, kata Maurice

Advertisement

KANOWIT: Kerajaan peka dengan keperluan rakyat amnya di kawasan luar bandar, kata Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri.

Katanya, masalah rakyat di kawasan luar bandar terus menjadi agenda utama kerajaan untuk memastikan penduduk tidak ketinggalan dari segi taraf hidup dan sebagainya.

“Ini bagi memastikan masyarakat luar bandar dapat seiring dengan penduduk bandar dengan usaha merapatkan jurang perbezaan merangkumi taraf hidup, pendidikan, kemudahan awam dan kesejahteraan hidup.

“Kita tidak mahu penduduk luar bandar terus ketinggalan dan kerajaan sedaya upaya membangunkan kawasan luar bandar,” katanya pada Majlis Ngiling Bidai Komuniti 1Malaysia (K1M) Pekan Kanowit di Rumah Benjamin Angki Kaboy, Rantau Kemiding di sini, Sabtu lalu.

Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Kanowit, Wan Mohd Zuki Wan Ismail dan Pengerusi K1M Pekan Kanowit, Kaunselor Tuai Rumah Benjamin Angki Kaboy.

Sementara itu, beliau menyarankan rakyat supaya menjayakan transformasi kerajaan dalam pelbagai bidang bagi mencapai Wawasan 2020 yang melibatkan penyertaan semua pihak.

“Sahut seruan kerajaan untuk memajukan diri sendiri dan keluarga bagi menghadapi cabaran era baharu dan ke arah negara maju,” jelasnya.

Bercakap mengenai Hari Gawai Dayak, beliau berkata, semangat perayaan itu harus dijadikan sebagai landasan mengeratkan silaturahim seterusnya mengukuhkan hubungan masyarakat.

Advertisement