Anda di sini

Gramong ceriakan sambutan Hari Gawai Dayak di Kanowit

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus

DEKATI RAKYAT: Gramong (berdiri, dua kanan), Catherine (berdiri, lima kanan), Ping (berdiri, lima kiri) merakamkan kenangan bersama penduduk rumah panjang yang menyambut Hari Gawai Dayak.

MENTERI Muda Pelancongan (Acara & Produk) dan Kemajuan Tanah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Datuk Gramong Juna bersama isterinya Datin Catherine Gramong telah mengadakan lawatan muhibah serta mengunjungi majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Gawai Dayak di daerah Kanowit, baru-baru ini.

Antara rumah-rumah panjang yang dikunjungi mereka ialah Rumah Joannes Giri di Nanga Gremai, Rumah Banying (Bukong), Rumah Jonathan Gangga (Machan) dan Rumah Selan (Maong) pada hari pertama sambutan Hari Gawai Dayak (1 Jun).

Pada hari kedua (2 Jun), Gramong serta para rombongannya berkunjung ke kediaman Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang di Bejait, Jalan Nibong-Tada diikuti Rumah Penghulu Juin Adan di Nanga Kabah dan Rumah Penghulu Ugap Seribu (Nanga Tada).

SIMBOLIK: Gramong menyempurnakan adat Gawai Dayak ketika tiba di Rumah Joannes.

Turut mengiringi Gramong dalam kunjungan Hari Gawai Dayak itu ialah Aaron berserta isterinya Datin Ping Bungan, Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Sarawak Datuk Dr Chai Kin Chung, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee, Pegawai Daerah Kanowit Noel Katis Nyabong dan Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail.

Dalam ucapannya, Gramong menegaskan bahawa Gawai Dayak merupakan hari apabila semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bersama-sama bertandang ke majlis rumah terbuka seperti perayaan-perayaan lain.

Katanya, Hari Gawai Dayak juga dapat menyatukan rakyat yang berbilang kaum dan agama yang membolehkan wujudnya pergaulan seterusnya dapat mengenali adat budaya masing-masing yang sesuai dengan gagasan 1Malaysia.

MESRA RAKYAT: Gramong sempat berjenaka dengan hadirin ketika berucap di salah sebuah rumah panjang yang dikunjunginya.

“Saya memohon kepada semua rakyat khususnya masyarakat Dayak agar berdamai dan saling bermaaf-maafan ketika Gawai ini serta lupakan masalah ataupun pertelingkahan yang berlaku.

“Sama-samalah kita mengeratkan perpaduan antara kaum agar kita dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua masyarakat yang hadir bersamanya ke majlis rumah terbuka itu dengan melibatkan pelbagai kaum seperti Cina, Melayu dan Dayak sendiri.

ADAT: Gramong dan Aaron mengetuai upacara ‘miring’ di Rumah Banying.

BERSAMA RAKYAT: Aaron (berdiri, tujuh kanan) dan Ping (berdiri, enam kanan) merakam kenangan bersama kaum Melayu Kanowit yang sempat berkunjung pada majlis rumah terbukanya di Bejait, Jalan Nibong-Tada.

 

Advertisement