Anda di sini

Anyi memang tak pernah keluar SPDP, kata Nelson

Advertisement

KUCHING: Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau (gambar) bukan mengubah fikiran tetapi sememangnya tidak pernah mengumumkan diri keluar dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), kata Setiausaha Agung SPDP Datuk Nelson Balang Rining.

Jelasnya, Anyi tidak pernah menghantar surat peletakan mahupun mengumumkan secara terbuka akan keluar parti meskipun ramai beranggapan beliau akan mengikuti langkah bekas presiden, Tan Sri William Mawan Ikom menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang baharu ditubuhkan.

“Bagi SPDP, Anyi sentiasa bersama kita memandangkan beliau tidak pernah mengemukakan surat peletakan kepada parti.

“Malah, pada sidang media semalam (Isnin), beliau mengesahkan masih bersama kita meskipun terdapat khabar angin mengatakan sebaliknya,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Nelson memberitahu, situasi itu berbeza dengan Mawan yang terang-terangan mengumumkan secara rasmi kepada orang ramai bahawa dirinya keluar parti.

“Perkara itu sama juga dengan Kumpulan Berlima memandangkan mereka sememangnya tidak pernah diterima secara ikhlas untuk memasuki SPDP semula,” katanya.

Akhbar tempatan kelmarin melaporkan Anyi menafikan beliau keluar dari SPDP bagi menyertai TERAS serta langsung tidak mempunyai niat menyertai parti-parti lain.

“Saya ingin memperjelaskan tentang kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen Baram. Terdapat khabar angin yang mengatakan saya telah meninggalkan parti.

“Sebenarnya, saya masih lagi anggota SPDP dan wakil parlimen Barisan Nasional (BN),” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Selain Mawan, wakil rakyat SPDP lain yang keluar parti adalah Datuk Peter Nansian (ADUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri Muran (ADUN Marudi), Paulus Palu Gumbang (ADUN Batu Danau) Rosey Yunus (ADUN Bekenu) dan Anyi Ngau (Ahli Parlimen Baram).

Manakala dalam SUPP, wakil yang mengambil tindakan sama keluar parti ialah Dr Johnical Rayong Ngipa (ADUN Engkilili), Datuk Dr Jerip Susil (ADUN Bengoh), Ranum Mina (ADUN Opar) dan Dato Sri Wong Soon Koh (ADUN Bawang Assan).

Advertisement