Anda di sini

Lawatan PRBM ke Limbang eratkan silaturahim

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

SELAMAT DATANG: Rombongan PRBM merakam kenangan bersama setiba di Limbang.

PEJABAT Residen dan Daerah Limbang dan Pejabat Residen Bahagian Miri (PRBM) menjalinkan kerjasama serta mengukuhkan hubungan dua hala melalui Lawatan Sambil Belajar dan Sukan Integrasi daripada PRBM ke Limbang baru-baru ini.

Wakil Residen Limbang yang juga Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir berkata program itu amat memberi impak kepada dua-dua pihak dalam berkongsi buah fikiran dan tenaga sekali gus menyumbang ke arah pembangunan, pelancongan, sosial dan budaya.

Katanya, program berkenaan merupakan lawatan balas daripada Lawatan Sambil Belajar dan Sukan Integrasi R&DO 2013 oleh Pejabat Residen dan Daerah Limbang ke PRBM November tahun lalu.

“Melalui program ini kita yakin kedua-dua pihak dapat berkongsi idea dan pengalaman berkenaan pembangunan, pelancongan, sosial, budaya dan melawat tempat menarik di Bahagian Limbang.

BERBAKAT: Kakitangan Pejabat Residen dan Daerah Limbang menghiburkan rombongan PRBM dengan persembahan tarian dan nyanyian.

“Pada masa sama kakitangan PRBM akan didedahkan dengan maklumat tentang organisasi, mendapatkan input, berkongsi pengalaman serta maklumat yang berguna, demi penambahbaikan sistem kerja sedia ada dan boleh diadaptasi dalam pentadbiran masing-masing,” katanya.

Hamdiah optimis program tersebut mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kerja pentadbiran serta menjalin integrasi melalui sukan, sosial dan riadah.

Terdahulu seramai 45 anggota rombongan PRBM diketuai Residen Bahagian Miri, Antonio Kahti Galis turut melawat Pejabat Residen Bahagian Limbang dan telah diberi taklimat berkenaan pembangunan, sejarah, sosio budaya Bahagian Limbang dan organisaisi Pejabat Residen Bahagian Limbang.

Pada program itu rombongan berpeluang mengadakan aktiviti sukan iaitu perlawanan persahabatan badminton dan futsal.

Manakala pada sebelah malam majlis Makan Malam Jalinan Mesra turut diadakan.

Dalam pada itu, Antonio turut merakamkan terima kasih atas layanan dan sambutan yang diberikan dan berharap agar jalinan sedia ada ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu, Sabah dan membuat lawatan lambil belajar ke Pejabat Daerah Kota Belud Sabah.

SUKAN INTEGRASI: Hamdiah (tengah) dan wakil rombongan PRBM bertukar-tukar cenderamata selepas acara sukan selesai.

Advertisement