Anda di sini

Azizul idam gelaran Mr Malaysia

Advertisement

BADANG SARAWAK: Azizul (kanan) dan Melvern (tiga kanan) akan merebut kejuaraan Mr Malaysia pada 7 dan 8 Jun ini di Putrajaya, Kuala Lumpur. Turut memberi sokongan Pengarah Phoenixgym Dan Ling (dua kanan) dan Dennis (kiri).

Malvern sasar kekal naib juara kategori light weight pada kejohanan 7-8 Jun ini

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Ahli bina badan Awang Mohd Azizul yang dinobatkan sebagai Mr Sarawak 2014 bersedia untuk merebut kejuaraan pada kejohanan Mr Malaysia 2014 yang bakal berlangsung di Putrajaya pada 7 hingga 8 Jun ini.

Kali ini, Azizul yang juga naib juara bagi kategori welter weight Mr Malaysia tahun lepas menyasarkan untuk muncul juara buat pertama kalinya bagi kategori kegemarannya light heavy weight.

Selain Azizul, kejohanan kali ini turut menyaksikan penyertaan seorang lagi badang Sarawak yang juga merupakan naib juara empat kali Mr Malaysia bagi kategori light weight iaitu Melvern Abdullah.

Tidak meletakkan sebarang sasaran untuk muncul juara, Melvern pada kejohanan kali ini bakal berpuas hati jika dapat mengekalkan kedudukan sebagai naib juara melihat kepada saingan yang semakin sengit.

“Saya tidak berani meletakkan sebarang sasaran kerana dari tahun ke tahun saya melihat saingan semakin sengit dari kalangan ahli bina badan yang ada di negara ini.

“Walau bagaimanapun saya berharap agar dapat mengekalkan kedudukan terbaik saya setakat ini tetapi jika dapat muncul juara ia pasti hadiah yang hebat bagi usaha saya selama ini,” katanya pada sidang media di Phoenixgym yang terletak di Lorong Foochow di sini semalam.

Ditanya mengenai persiapan menjelang kejohanan tersebut, Azizul dan Melvern memberitahu masing-masing telah bersiap sedia untuk menghadapi saingan daripada peserta dari seluruh negara.

“Saya sendiri telah berlatih sepanjang tahun dan pada 7 dan 8 Jun ini merupakan penentuan kepada usaha saya selama ini,” kata Melvern.

Seperti kejohanan tahun lepas, kedua-dua ahli bina badan ini mendapat tajaan penuh daripada Phoenixgym untuk merebut kejuaraan Mr Malaysia 2014 dalam kategori masing-masing.

Selain menaja dua ahli bina badan ini ke saingan Mr Malaysia 2014, Phoenixgym turut menaja ahli bina badan antarabangsa dari Sarawak Dennis Jeros yang merupakan bekas juara Mr Malaysia 2011 ke kejohanan antarabangsa.

Pada masa yang sama, Phoenixgym juga dalam usaha mencari bakat-bakat muda sama dalam sukan bina badan selain bakat-bakat muda wanita dalam bidang kecergasan.

Juara Mr Malaysia 2014 seterusnya akan dipilih untuk beraksi mewakili negara di kejohanan peringkat antarabangsa.

 

Advertisement