Anda di sini

Sarawak miliki asas kukuh capai status maju 2030

Advertisement

IMBAS KEMBALI: Wahab menunjukkan kepada Taib gambar beliau semasa menjadi Ketua Menteri
sambil disaksikan Ragad (kiri). — Gambar Bernama

Pembangunan kini amat pesat, kepimpinan negeri perlu pikul cabaran meneruskan legasi kemajuan

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Sarawak sudah mempunyai asas kukuh untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2030, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, ini kerana pembangunan yang berlaku di Sarawak amat pesat terutama dengan kewujudan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Sehubungan itu, menurutnya, kepimpinan kerajaan negeri perlu memikul cabaran untuk meneruskan legasi kemajuan Sarawak.

“Saya memang berharap Ketua Menteri (Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem) bersama kepimpinan kerajaan negeri yang lain dapat melakukan tanggungjawab lebih baik daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Asas sudah ada untuk menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi.

Apa yang perlu adalah menghadapi cabaran dengan sebaik mungkin untuk memastikan rancangan ini berjaya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Hadir sama isteri Yang di Pertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan isteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Datuk Abdul Wahab Dolah.

Taib yakin Adenan mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan untuk meletakkan Sarawak pada landasan yang lebih baik berbanding sekarang.

“Saya gembira melihat cara Adenan bekerja.

Saya harap beliau (Adenan) membawa banyak kejayaan kepada negeri ini,” ujarnya.

Sarawak ketika ini, katanya, sudah mencapai kepada tahap yang berjaya terutama terutama melibatkan pembangunan seperti alam semula jadi seperti membekalkan tenaga.

“Jadi kita perlu menggunakan kelebihan yang kita miliki dengan sebaik mungkin agar semua orang akan mendapat manfaat,” jelasnya.

Menurutnya, tugas yang dijalankannya ketika menjadi Ketua Menteri adalah tanggungjawab dengan dibantu beberapa lagi pemimpin.

“Kenapa perlu berterima kasih kepada saya, ini adalah tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya.

“Saya bersama pemimpin lain melakukan kerja secara bersama,” kata Taib.

 

Advertisement