Anda di sini

Skuad renang tuai empat lagi pingat emas

Advertisement

CERIA: Skuad renang Sarawak ceria selepas menggondol empat emas pada hari kedua acara akuatik semalam.

PERLIS: Dominasi Sarawak dalam acara akuatik diteruskan pada hari kedua acara berkenaan dengan empat emas dan satu gangsa berjaya dibawa pulang perenang Bumi Kenyalang.

Perenang kebangsaan, Welson Sim Wee Sheng mengutip emas pertama Sarawak dalam acara 200m Gaya Bebas Lelaki dengan catatan masa 01:52.72s.

Perak milik Selangor dan gangsa dimenangi perenang Wilayah Persekutuan.

Ratu renang, Erika Kong menambah keceriaan kem renang Sarawak dengan pungutan emas kedua dalam acara 200m Rampaian Perseorangan Wanita.

Catatan masa 02:22.47s gagal disaingi perenang Wialayh Persekutuan dan Selangor yang mengutip perak dan gangsa.

Sarawak menambah dua lagi emas dalam acara 4x200m Gaya Bebas Lelaki dan Wanita.

Kuartet lelaki Alex Tiong, Ngui Jiung Wei, Vernon Lee dan Welson Sim gagal disaingi pasukan untuk merangkul emas dengan rekod baharu 07:47.31s.

Selangor di tempat kedua dan Pulau Pinang tempat ketiga.

Manakala kuartet wanita Sarawak Angela Chieng, Erika Kong, Nita Wong Zhi Yi dan Tan Tyng berjaya memastikan emas dengan catatan masa 08:46.99s.

Perak dirangkul perenang Sabah dan gangsa milik Selangor.

Sarawak merangkul gangsa menerusi acara 200m Gaya Bebas Wanita yang diwakili Angela Chieng dengan catatan masa 02:08.61s.

Pemenang pingat emas dalam acara 200m Kuak Kupu-Kupu kelmarin gagal mengulangi rentak cemerlang apabila tewas di tangan perenang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (emas) dan Sabah (perak).

Perenang Sarawak akan turun dalam lima lagi acara di Kompleks Renang (KSN) Kangar hari ini.

Sementara itu, tiga pingat termasuk satu emas berjaya dirangkul atlet petanque Sarawak di gelanggang petanque Kompleks Sukan Negeri Perlis semalam.

Emas diraih menerusi acara Perseorangan Lelaki setelah Mohd Zarafi berjaya mengatasi Mohomad Shah dari Negeri Sembilan dengan 13-12.

Tuah terus berpihak kepada Sarawak dengan tambahan satu lagi perak dan gangsa menerusi acara Beregu Wanita dan Perseorangan Wanita.

Gandingan Caroline Viana/ Nur Athirah gagal menyaingi kehebatan Nuraisyah Yahaya/Natasya Diana dari Melaka apabila mereka tewas 2-13.

Gangsa dimenangi Salus Zaini setelah menjinakkan Che Wan Nor Azlilah Che Wan Mohd Radzi dari Terengganu dengan 13-9.

Advertisement