Anda di sini

Penghakiman bersejarah Sultan Azlan jadi legasi negara: Peguam Negara

Advertisement

PUTRAJAYA: Koleksi keputusan penghakiman Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah mengenai undang-undang perlembagaan dan beberapa kes lain terus bertahan diuji masa dan kekal sebagai legasi negara ini, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata koleksi penghakiman itu sentiasa menjunjung tinggi dan memberi penekanan terhadap keluhuran perlembagaan Malaysia serta hak rakyat negara ini di sisi perlembagaan.

“Ia juga menjadi bukti kerjaya cemerlang seorang hakim yang arif dan pentadbir undang-undang yang amat berpengalaman,” katanya dalam kenyataan semalam bagi merafakkan ucapan takziah atas kemangkatan Sultan Azlan Shah bagi pihak Jabatan Peguam Negara dan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang.

Sultan Azlan Shah mangkat pada jam 1.30 petang kelmarin di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Almarhum berusia 86 tahun.

Sultan Azlan Shah meninggalkan kerjaya gemilang dalam bidang undang-undang.

Kerjaya Sultan Azlan Shah dalam bidang undang-undang dan kehakiman bermula pada 1953 apabila baginda dilantik sebagai majistret dan kemudian presidenMahkamah Sesyen, Peguam Persekutuan, timbalan pendakwa raya, penasihat undang-undang negeri Pahang dan Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya dan selepas itu Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, sebelum dinaikkan pangkat ke Mahkamah Tinggi Malaya pada 1965 ketika berusia 37 tahun.

“Kebijaksanaan, kepakaran dan dedikasi baginda dalam menegakkan keadilan melalui undang-undang mencapai kemuncaknya apabila baginda dilantik sebagai Presiden (kini dikenali sebagai Ketua Hakim Negara) Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 1982 ketika berusia agak muda iaitu 54 tahun,” kata Abdul Gani.

Menurut beliau, Sultan Azlan Shah terus kekal sebagai tokoh undang-undang yang amat dihormati, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh Komanwel, malah selepas baginda menaiki takhta sebagai Sultan Perak ke-34 pada 1984, dan ketika menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Kesembilan (1989–1994).

Abdul Gani, yang juga pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang, berkata Almarhum terlibat secara aktif dalam siri Syarahan Undang-undang Sultan Azlan Shah.

Baginda juga, katanya begitu bermurah hati memberi Biasiswa dan Anugerah Sultan Azlan Shah untuk kecemerlangan pengajian dalam bidang undang-undang, termasuk kepada pelajar Sijil Amalan Guaman yang dikendalikan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (CLP).

Abdul Gani berkata Pejabat Peguam Negara bertuah dan berbangga kerana pernah mempunyai Sultan Azlan Shah sebagai seorang daripada pegawai undang-undangnya.

“Lebih membanggakan, profesionalisme, kebijaksanaan dan jenaka pintar baginda di mahkamah menghiburkan peguam serta pegawai undang-undang ketika hadir di hadapan baginda yang menjadi Peguam Negara ketika itu,” katanya. — Bernama

Advertisement