Anda di sini

Tiga pesilat wanita raih gangsa

Advertisement

Oleh Harry Ilias

Sarawak gagal tambah sebarang pungutan pingat emas pada hari keempat SUKMA XVII

PERLIS: Kontinjen Sarawak gagal menambah sebarang pungutan pingat emas pada hari keempat SUKMA XVII setelah terkandas dalam beberapa acara akhir yang disertai para atlet pada SUKMA XVII semalam.

Bagaimanapun, kehampaan itu terubat dengan kejayaan tiga pesilat wanita menghadiahkan gangsa setelah kesemua mereka tewas dalam saingan separuh akhir yang berlangsung di Dewan Rakan Sukan, Kompleks Sukan Negeri, Kangar.

Pesilat pertama Munirah Daud tewas di tangan Nurul Jannathul Atikah Mohammad Azmi dari Pahang dalam acara wanita Kelas B 50kg-55kg.

Manakala Maliana Rajalan tumpas di tangan atlet Sabah Nurul Ain Sohrab dalam acara sama.

Turut kecundang Zaranah Zulkiflee ketika berdepan pesilat Terengganu Noraini Mohamad dalam acara Kelas C 55kg-60kg.

Bagaimanapun, Muhammad Hafiz Remmy Iskandar berjaya menempah slot ke perlawanan akhir setelah menewaskan Muhammad Tiga pesilat wanita raih gangsa Nazreen Asyraf Othman dari Terengganu dalam kategori lelaki Kelas H 80kg-85kg.

Turut mara ke final Olivia Chong yang mengetepikan Siti Zalika Jamaludin dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam saingan wanita Kelas F 70-75kg.

Acara akhir akan berlangsung pada 29 Mei (esok).

Sementara itu, skuad tenis menepati ramalan apabila mudah melepasi pusingan awal acara berpasukan lelaki dengan menewaskan tuan rumah Perlis 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di gelanggang tenis Kompleks Sukan Negeri Kangar.

Sarawak yang menurunkan barisan pemain terbaik seperti Ariez Elyaas Deen Hisham dan Mohd Assri Merzuki meneruskan kemaraan dengan menewaskan Kelantan juga dengan 3-0 pada perlawanan kedua yang berlangsung di sebelah petang.

Sarawak perlu menundukkan Terengganu pada perlawanan ketiga hari ini bagi menempah slot ke suku akhir.

Di gelanggang tinju Arena Futsal, (KSN), Kangar dua petinju Sarawak turun dalam dua kategori berbeza peringkat pusingan awal.

Pada aksi pertama, Mohamad Zamzuri Asram tumpas di tangan petinju Pahang Mohd Fakhrul Razzi Yusuf dalam kategori 52kg ke bawah.

Rakan Zamzuri, Mohamad Aisamuddin Mohamad bagaimanapun berjaya menewaskan petinju Sabah Frenky Francis dalam kategori 56kg ke bawah.

Aisamuddin akan turun dalam peringkat suku akhir menentang Zulfadhli Jafar dari Selangor hari ini.

Dalam acara badminton, Sa r awak be r j aya menewaskan Negeri Sembilan 3-2 dalam saingan peringkat awal acara berpasukan lelaki yang berlangsung di Dewan Badminton KSN Kangar semalam.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa skuad wanita apabila dibaham Selangor 1-4.

Sarawak kini menduduki tangga ke-10 dalam senarai pungutan pingat dengan satu emas, satu perak dan enam gangsa.

 

Advertisement