Anda di sini

Ling aibkan Sigar untuk bergelar juara golf senior terbuka Sarawak

Advertisement

KUCHING: Penampilan pertama Ling Soon Kiong pada Kejohanan Golf Senior Terbuka Sarawak 2014 edisi ke-21 Piala Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai mengaibkan juara bertahan, Sigar Tidan apabila pemain dari Kelab Golf Sibu itu dinobatkan juara kejohanan tersebut.

Ling, 58, mengumpul sebanyak 157 mata setelah melalui dua hari kejohanan berlangsung di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini berakhir Ahad lalu.

Tempat kedua dimenangi Abang Abdul Rahman dari KGS dengan 163 mata, manakala kapten Persatuan Pemain Golf Senior Sarawak (SGGS) yang juga Presiden Persatuan Golf Sarawak (SGA), Hoan Kee Hock menduduki tempat ketiga dengan 164 mata.

Manakala Sigar yang kini berusia 60 tahun dari Kelab Golf Bintulu sekadar menduduki tempat ketujuh dengan 167 mata.

“Saya bermain dengan baik sejak hari pertama walaupun cuaca hujan dan kemudian terus mencuba yang terbaik untuk memenangi kejohanan ini,” kata Ling yang pernah memenangi Kejohanan Golf Sarawak Klasik dan Kejohanan Golf Sarawak Tertutup lebih 10 tahun lalu.

Seramai 104 peserta dari seluruh negeri termasuk seorang dari Sabah mengambil bahagian pada kejohanan dua hari itu dianjurkan oleh SGGS dan disokong oleh SGA.

Piala juara keseluruhan disumbangkan penaung kejohanan, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai selain ditaja sejumlah RM20,000 oleh Kerajaan Negeri.

Dalam kategori nett, pemenangnya ialah Goh Thai dengan kutipan sebanyak 141 mata manakala Abdul Karim Ayub menduduki tempat kedua dengan 144 mata dan Kong Chee Kwong di tempat ketiga dengan 145 mata.

Penyampaian hadiah para pemenang disempurnakan oleh Presiden SGSS, Datuk Mohd Amin Satem dan Presiden SGA, Hoan Kee Hock.

Sementara itu, Hoan berkata ada dua lagi kejohanan golf senior diadakan di KGS pada tahun ini.

Kejohanan tersebut adalah Master Senior Sarawak – Piala Datuk Mohd Amin Satem yang akan diadakan pada 2 dan 3 Ogos dan Amatur Senior Sarawak Tertutup – Piala Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai pada 6 dan 7 September.

Beliau berkata, penganjuran kedua-dua kejohanan tersebut mendapat kebenaran SGA dan perkara lanjut mengenainya akan dikemukakan kepada kelab-kelab gabungan SGA dalam tempoh terdekat.

“SGA akan terus menganjurkan lebih banyak kejohanan dengan sasaran untuk meningkatkan standard sukan golf di negeri ini.

“Pada masa sama, SGA juga mahu mewujudkan hubungan persahabatan yang baik di kalangan pemain golf,” katanya.

Manakala Mohd Amin berharap kejohanan golf yang dianjurkan dari semasa ke semasa akan terus mendapat sambutan dan sokongan daripada pemain-pemain golf tempatan.

“Apa yang kita mahu ialah semua pemain golf di negeri ini menikmati sukan golf kerana membolehkan kita menguji minda, kesabaran, tumpuan dan sebagainya dengan baik.

“Selain itu, paling penting ialah jalinan persahabatan antara pemain dapat dirapatkan,” katanya.

Advertisement