Anda di sini

Kontinjen Sarawak sudah bersedia gegar Perlis: Lee

Advertisement

KUCHING: Kont injen Sarawak bersedia untuk memberi cabaran sengit kepada peserta dari kontinjen lain dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke XVII di Perlis yang akan memulakan persaingan hari ini hingga 4 Jun depan.

Dalam temasya kali ini Sarawak diwakili 362 atlet yang diiringi 159 pegawai akan mengambil bahagian dalam 22 daripada 24 acara dipertandingkan dan berikrar melakukan terbaik untuk merangkul sebanyak mungkin pingat emas iaitu 310 daripada 396 ditawarkan.

Kontinjen negeri kali ini tidak mengambil bahagian dalam dua acara iaitu ekuestarian dan perahu layar.

“Para atlet tidak sabar dan sudah bersedia beraksi dalam acara masing-masing selepas berlatih berbulan-bulan sebagai persiapan menghadapi SUKMA XVII,” kata Ketua Kontinjen Sarawak Datuk Lee Kim Shin semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan berkata persiapan secara keseluruhannya telah sempurna dengan kem kontinjen di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berakhir semalam.

“Ya, sekarang kita (kontinjen Sarawak) sudah bersedia untuk memberi cabaran sengit kepada lawan malah beberapa atlet sudah pun berada di Perlis terutama pasukan bola sepak dan pencak silat.

“Manakala sebahagian lagi menyertai kontinjen negeri di Perlis dari Bukit Jalil dan mereka yang berada di luar negara akan pergi terus ke Perlis,” jelasnya.

Menyentuh sasaran 55 pingat emas kali ini dan menamatkan temasya di tempat kelima teratas, beliau amat yakin ia boleh dicapai ia berdasarkan maklum maklum balas daripada para jurulatih dan pegawai persatuan-persatuan sukan.

Lee berkata Sarawak yakin mempunyai kelebihan dalam acara olahraga, renang, tenpin bowling, wushu, tenis, angkat berat, berbasikal dan memanah.

“Saya juga menjangkakan acara lain turut mencipta kejutan… Namun perkara yang membimbangkan saya ialah pengadilan sukan-sukan subjektif seperti wushu, karate, taekwondo kerana sukan seni mempertahankan diri sentiasa melibatkan pengadilan kontroversi.

“Berdasarkan pengalaman kita sebelum ini, adalah amat sukar meramal sejauh mana pencapaian kita dalam sukansukan ini,” ujarnya.

Memandangkan majoriti atlet Sarawak kali ini adalah muka baharu, Lee berkata SUKMA XVII merupakan persiapan menghadapi SUKMA 2016 ketika Sarawak menjadi tuan rumah nanti.

“SUKMA Perlis juga platform yang sangat bagus untuk kita menimba pengalaman dan saya percaya menjelang 2016, majoriti atlet akan lebih matang serta berpengalaman seterusnya memberi cabaran mantap bagi keseluruhan temasya,” katanya.

Pingat emas pertama Sarawak dijangka disumbang oleh acara pencak silat yang akan memulakan persaingan hari ini di Dewan Sukan Kompleks Sukan Perlis dan perlawanan bola sepak juga bermula hari ini berlangsung di UiTM Perlis.

Acara lain yang akan memulakan cabaran esok ialah berbasikal, hoki (lelaki dan wanita) skuasy, berkayak dan karate diikuti bowling padang dan tenpin Bowling pada Ahad semenyara badminton, tinju, angkat berat, sepak takraw dan tenis, Selasa depan.

Pada SUKMA ke-15 di Pahang dua tahun lalu , Sarawak meraih 42 pingat emas, 32 perak dan 38 ganggsa bagi melayakkannya menduduki tempat keempat selepas Terengganu , Selangor dan Pahang.

 

Advertisement