Anda di sini

Mah jangka saingan yang sengit

Advertisement

Beliau bagaimanapun tetap yakin mampu merampas semula Teluk Intan

TELUK INTAN: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan menjangka saingan sengit walaupun pertandingan satu lawan satu.

Mah bagaimanapun, berkeyakinan mampu merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan itu yang disandangnya selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, berdasarkan faktor pengundi tempatan lebih meminati anak tempatan daripada orang luar dalam membangunkan kawasan berkenaan.

“BN ada peluang 50:50 untuk ambil balik kerusi Parlimen yang telah kalah pada penggal (PRU 2008 dan 2013) yang lepas,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Teluk Intan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak, di sini semalam.

Mah, 53, ditentang calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud, 27, berikutan kematian penyandang kerusi itu Seah Leong Peng, 48, daripada DAP pada 1 Mei lepas kerana kanser.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada 31 Mei.

Presiden GERAKAN itu berkata jentera BN perlu bekerja keras walaupun PRK kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu kerana ia pertandingan sengit.

Mah berkata GERAKAN pada mulanya bercadang meletakkan calon baharu bagi PRK kali ini, tetapi akhirnya beliau selaku presiden parti diberi tanggungjawab untuk bertanding selepas penilaian dibuat.

“Saya akui pada mula-nya bercadang letak calon baharu (bagaimanapun) selepas buat kajian, pucuk pimpinan BN beri nasihat, saya mesti bertanding sebagai Presiden GERAKAN dan sebagai anak jati Teluk Intan,” katanya.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkata bertandinglah selepas perbincangan. Saya mesti bertanding walaupun apa keputusannya dan saya tidak lari daripada tanggungjawab walaupun hasrat kita nak bagi peluang kepada orang baharu,” katanya.

Beliau mengingatkan ke-dua-dua parti yang bertan-ding supaya tidak membuat serangan peribadi, memaki hamum, memutar belit fakta dan bermain emosi kerana itu bukan budaya penduduk Teluk Intan. — Bernama

Advertisement