Anda di sini

Inspektor polis dipenjara 12 tahun kerana tembak lelaki warga Pakistan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang Inspektor polis dihukum penjara 12 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menembak seorang lelaki warga Pakistan di Jalan Masjid India, di sini, lima tahun lepas.

Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Soffian Mohd Yusof, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Selain Mohd Soffian, bapanya, Mohd Yusof Khir Din, 54, turut dipenjara enam bulan kerana memberi maklumat palsu ketika membuat laporan berhubung kejadian itu.

Mahkamah memerintahkan dua beranak itu menjalani hukuman masing-masing bermula semalam dan menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman yang dikemukakan oleh peguam Harpal Singh Gill yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Sofian yang bertugas di Bukit Aman tetapi kini digantung tugas, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Ahmad Muzaffar dengan menembaknya menggunakan pistol jenis Victor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan City One Plaza, Jalan Masjid India, dekat sini, jam 12.20 pagi pada 3 Mac 2009, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Yusof pula didakwa memberi maklumat palsu dengan menyatakan bahawa seorang lelaki Pakistan telah menyerang anaknya dengan parang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Tun HS Lee, di sini, jam 2.19 pagi pada hari yang sama. — Bernama

Advertisement