Anda di sini

Hari kedua Pesta Benak terus meriah

Advertisement

Oleh Kelvin Lambai //

BERENTAP: Acara regata sedang berlangsung di Sungai Batang Lupar pagi semalam.

PENGANJURAN Pesta Benak Sri Aman edisi ke-12 dan masuk hari yang kedua semalam mencatatkan jumlah pengunjung berkunjung sekitar 30,000 orang.

Pelbagai acara menarik masih disajikan kepada para pengunjung termasuk Bazar Ria Benak, Regata Batang Lupar, Pameran dan Visual Benak, Pertandingan Menyumpit dan Batak Lampong.

Tidak ketinggalan juga ‘Benak King Burger Challenge,’ ‘Mr Badang,’ Senam Cergas Zumba serta Pertandingan Miss Tourism Benak 2014.

Aktiviti meluncur benak oleh 12 peluncur tempatan juga masih diketengahkan pada hari kedua penganjuran semalam di mana peluncur tersebut adalah peluncur tempatan dari Sri Aman, Kuching dan Kuala Lumpur.

Kehadiran peluncur itu dapat membantu mempromosikan benak Sungai Batang Lupar sebagai salah satu produk pelancongan apabila nama mereka ini dipromosikan hebat oleh media antarabangsa yang turut hadir memberikan liputan terbaik pada pesta tahun ini.

RASMI: Jabu menekan butang sebagai tanda merasmikan pesta berkenaan sambil diperhatikan oleh Masir (kanan), Simoi (dua kanan), Rohani (tengah), Jonathan (kiri) serta yang lain.

Beberapa pengunjung pesta yang ditemui menjelaskan pesta tahun ini mempunyai kelainan tersendiri.

Ini disebabkan beberapa acara baharu yang diperkenalkan iaitu ‘1st Benak Bike Week’ yang berkonsepkan acara permotoran disertai oleh ratusan motosikal berkuasa tinggi dari Brunei serta seluruh Sarawak.

Dalam pada itu, majlis perasmian pelancaran pesta telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, ADUN Lingga Simoi Peri, Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman Jonathan Lugoh serta yang lain.

BERSAMA PEMIMPIN: Pelatih Latihan Khidmat Negara (PLKN) Zon Sarawak yang menyertai Pameran Agensi Kerajaan sempena Pesta Benak Sri Aman tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan bersama Rohani.

Advertisement