Anda di sini

Ritual unik dalam persiapan sambutan ‘Berantu’

Advertisement

Oleh Ambrose Rirang //

KERJASAMA: Penduduk rumah panjang bergotong-royong menyediakan ramuan bagi menghasilkan air tuak untuk roh si mati.

HUJAN renyai-renyai di Daerah Kecil Sebauh di Bintulu baru-baru ini tanda keberkatan terhadap ritual ‘Manduk Tuak Sebayan’ atau menyediakan air tuak

bagi sambutan ‘Berantu’ atau ‘Ngibun’ iaitu perayaan bagi memperingati ahli keluarga dan juga sanak saudara yang sudah meninggal dunia di rumah panjang Tuai Rumah Henry Nuni Plen di Sungai Gelam pada 3 Jun nanti.

Secara umumnya, istilah ‘Berantu’ ini mempunyai maksud yang sama dengan perayaan Gawai Antu bagi masyarakat Iban di Bahagian Saribas dan juga Ngelumbong atau Nyungkup bagi yang mendiami kawasan Batang Rajang khususnya di Kapit.

Penulis berkesempatan singgah di rumah panjang Henry Nuni Plen untuk melihat sendiri persiapan penduduk rumah panjang yang memasak beras pulut dalam buluh bagi dijadikan air tuak atau tapai khusus bagi merayakan sambutan ‘Berantu’ yang tinggal sebulan lagi.

PROSES: Beras pulut dimasak di dalam buluh sebelum dijadikan air tuak untuk roh si mati.

Rata-rata golongan tua di kampung berkenaan berpendapat roh si mati atau signifikan dengan nama ‘Sebayan’ akan terhidu bau beras pulut yang dimasak oleh sanak saudara mereka yang masih hidup dan akan berusaha sedaya upaya menjejaki bau berkenaan bagi mengetahui siapa gerangan yang memasak beras pulut tersebut.

Setelah itu, baharulah roh si mati mengetahui bahawa sanak saudara mereka yang masih hidup sedang membuat persiapan bagi memberikan penghormatan terakhir buat mereka.

Kebiasaannya, komuniti Iban di Gelam Sebauh akan merayakan sambutan ‘Berantu/Ngibun’ setiap 3 hingga 7 tahun sekali.

Menurut cerita lisan generasi tua rumah panjang berkenaan, air beras pulut yang direndam di sungai sehari sebelum upacara ‘Manduk Tuak Sebayan’ itu akan mengalir

ke Batang Limban iaitu salah sebuah sungai yang terdapat di ‘Menua Batang Mandai’ (dunia roh dalam kepercayaan lama masyarakat Iban) sekali gus merupakan satu-satunya peluang bagi mereka dapat melihat dengan jelas ahli keluarga atau sanak saudara mereka yang masih lagi hidup di dunia nyata ini.

UNIK: Kaum wanita rumah panjang sedang menyediakan beras pulut untuk dijadikan air tuak.

Advertisement