Anda di sini

Tohmahan kononnya SYABAS adalah punca catuan air tidak tepat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) semalam kesal dengan tohmahan kononnya syarikat itu gagal menangani masalah bekalan air sehingga meng-akibatkan gangguan bekalan di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred dalam satu kenyataan berkata, dakwaan itu adalah tidak benar kerana gangguan bekalan air berlaku antara lain disebabkan kekurangan bekalan air terawat untuk para pengguna.

“Ia (masalah air) berpunca daripada tiga faktor utama iaitu kekurangan bekalan air mentah, kekurangan kapasiti loji rawatan air dan kekura-ngan kapasiti sistem agihan untuk menyalurkan bekalan air ke premis pengguna.

“Ketiga-tiga faktor ini ada-lah dibawah bidang kuasa pihak yang berlainan iaitu antara kerajaan negeri Selangor, syarikat operator loji rawatan air dan SYABAS sendiri,” katanya.

Alfred berkata demikian sebagai mengulas kenyata-an Anggota Parlimen Shah Alam daripada PAS Khalid Samad di dalam akhbar tempatan bertarikh 21 April yang antara lain mendakwa kononnya punca masalah air berpunca daripada kegagalan SYABAS menangani masalah paip bocor dan menyebabkan pembaziran berlaku.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan Khalid itu, Priscilla  berkata loji rawatan air sedia ada ketika ini tidak lagi mampu menampung peningkatan permintaan pengguna.

Katanya masalah air itu juga disebabkan kekurangan bekalan air mentah ekoran penutupan dua loji rawatan air di Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi akibat sumber air mentah dari Sungai Langat mengandungi paras ammonia yang tinggi.

Katanya, bukan itu sahaja, keputusan untuk membuat pelan catuan air juga dipengaruhi oleh paras simpanan air mentah di empangan Sungai Selangor dan Klang Gates yang menurun ke paras kritikal.

Priscilla berkata ketidakmampuan sistem agihan sedia ada menyalurkan bekalan air daripada loji rawatan air menyebabkan bekalan air terawat tidak sampai sepenuhnya kepada pengguna.

“Keadaan sistem paip agihan yang usang dan berusia telah menyebabkan berlaku kebocoran dan pecah, sekali gus menyumbang kepada kehilangan air tanpa hasil,” katanya.

Priscilla berharap penjelasan ini akan dapat memberi pemahaman mengenai situasi sebenar yang telah berlaku dalam industri bekalan air negara.

“SYABAS amat bersedia, malah akan sentiasa bergan-ding bahu dengan pemimpin, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat dalam berkongsi maklumat tepat untuk kepentingan pengguna,” katanya. — Bernama

Advertisement