Anda di sini

Kerajaan mahu peniaga, rakyat, pelaksana bersedia sepenuhnya sebelum laksana CBP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) tidak dilaksanakan segera bagi membolehkan peniaga dan pihak yang berkaitan membuat persiapan sewajarnya, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata keputusan untuk melaksanakannya pada April tahun depan dibuat dengan mengambil kira perubahan yang perlu dilakukan kepada sistem perkomputeran, latihan kepada kakitangan serta penilaian semula proses perniagaan.

“Kerajaan juga mahu undang-undang dan peraturan berkaitan CBP teratur, difahami dan mempunyai sistem pengkomputeran CBP yang lengkap serta latihan secukupnya diberikan kepada pegawai agensi pelaksana CBP,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Senator Datuk S.Nallakaruppan yang bertanya mengapa CBP tidak dikuatkuasakan secepat mungkin jika ia baik untuk ekonomi negara.

Oktober lepas, semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perlaksanaan CBP dengan kadar enam peratus berkuat kuasa 1 April 2015 untuk menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan 1975 (SST) yang kadar keseluruhannya 16 peratus.

Berbeza dengan cukai jualan sekarang yang merupakan cukai seperingkat, CBP ialah cukai berperingkat dengan pembayaran cukai dibuat dalam pelbagai peringkat oleh perantara dalam proses pengeluaran dan pengagihan.

Ahmad berkata tempoh masa yang ditetapkan itu juga bertujuan memastikan rakyat benar-benar faham mengenai CBP, kesan dan langkah yang akan diambil kerajaan jika berlaku sebarang isu atau pertikaian ekoran pelaksanaan cukai itu.

Beliau berkata CBP merupakan sistem kawalan kendiri yang mempunyai sistem semakan bersilang antara Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, sekali gus membantu mengurangkan kerenah birokrasi selain meningkatan pematuhan pembayaran cukai berbanding sistem cukai SST. — Bernama

Advertisement