Anda di sini

Pusara askar terkorban perlu pembelaan segera

Advertisement

SIBU: Setelah lebih 30 tahun berlalu, kubur Allahyarham L/Kpl Nasinee Baderi yang terkorban ketika Operasi Kemudi 1 di perbatasan Sarawak/Kalimantan, memerlukan perhatian pihak berwajib.

Kubur tersebut yang sebelum ini dibina oleh pihak kerajaan serta terletak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paloh, Sarikei kini dalam keadaan usang serta memerlukan pembelaan segera.

Batu nisan serta pagar besi yang mengelilingi kubur semakin pudar dan perlu diganti semula, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa Allahyarham yang telah berkorban nyawa bagi menjaga keamanan negara.

Ayah Allahyarham Nasinee, Baderi Sli, 87, memohon agar pihak kerajaan negeri atau pihak berkuasa yang berkenaan dapat mempertimbangkan untuk menaik taraf kubur tersebut.

“Sudah lebih 30 tahun Allahyarham meninggal dan keadaan kuburnya juga semakin usang serta perlu dinaik taraf atau diperbaiki.

“Ini sebagai tanda kenang-kenangan dan penghargaan ke atas khidmat bakti Allahyarham sebagai seorang anggota tentera yang terkorban semasa bertugas,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.

Nasinee yang berkhidmat di dalam Batalion Ke-10 Rejimen Renjer berpangkalan di Kem Tasik Biru, Bau, terkorban pada 9 Februari, 1982 semasa Operasi Kemudi 1 di perbatasan Sarawak/Kalimantan ketika zaman konfrontasi.

Sebagai mengenang jasanya, kerajaan telah membina kubur buat Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paloh, Sarikei.

Selain itu, sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Allahyarham telah dikurniakan dengan pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) pada 1 Jun 1983.

Allahyarham yang terkorban semasa berusia 25 tahun turut dikurniakan Pingat Jasa Malaysia (PJM) pada 29 Oktober 2012, selepas mendapatkan sokongan daripada Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak (PVTMS).

Terdahulu, Baderi memohon bantuan daripada PVTMS yang diketuai oleh Thomas Ling bagi menyuarakan permohonan itu kepada pihak atasan.

Menurut Baderi yang berkhidmat 36 tahun dalam pasukan polis, Nasinee menyertai angkatan tentera kerana ingin membantu ayahnya membina rumah baharu untuk keluarga mereka.

“Selepas Allahyarham meninggal, saya menggunakan pampasan yang diberikan bagi menunaikan hasratnya itu,” jelasnya sambil menambah keadaan rumah mereka kini juga memerlukan perhatian selepas 30 tahun dibina.

Bekas anggota Pengawal Sempadan (Border Scout) berpangkat Sarjan itu kini menerima Pencen Terbitan sebanyak RM550 sebulan selepas kematian anaknya itu.

Sementara itu, menurut Thomas, PVTMS akan menulis surat kepada Panglima 9 Briged Datuk Muhammad Daniel Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol untuk mendapatkan bantuan bagi tujuan berkenaan.

Advertisement