Anda di sini

Doktor, jururawat diseru sentiasa bersabar hadapi kerenah pesakit

Advertisement

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri menasihatkan pegawai perubatan dan para jururawat agar sentiasa bersabar dan berpegang teguh kepada etika kerja semasa berhadapan dengan kerenah pesakit agar sumbangan mereka dipandang mulia oleh rakyat.

“Yang paling penting ialah integriti dan amalkan sikap integriti ketika melaksanakan tugas harian supaya rakyat memandang positif kerjaya jururawat mahupun pegawai perubatan,” ujarnya.

Simoi berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Mesra anjuran Persatuan Jururawat Masyarakat Sarawak (PJMS) Cawangan Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, malam kelmarin.

Simoi mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada majlis tersebut.

Justeru, Simoi menyarankan PJMS Cawangan Sri Aman menjalinkan hubungan kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan di sini agar dasar pembangunan kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat.

“Mengharapkan kerajaan untuk menyampaikan dasar pembangunan terhadap rakyat sahaja tidak cukup kerana ia boleh dilakukan selagi ada hubungan kerjasama antara PJMS dan badan bukan kerajaan di sini,” kata beliau.

Pada majlis itu, Simoi mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,500 kepada PJMS Cawangan Sri Aman.

Turut hadir Pengerusinya PJMS West Juria dan Pemanca Mas Shamsiah Maslem.

Advertisement