Anda di sini

Paparan keindahan Malaysia tidak lengkap tanpa Sarawak dan Sabah

Advertisement

KUCHING: Paparan keindahan Malaysia dalam pembikinan filem dan drama-drama tidak akan lengkap tanpa kandungan dari Sarawak dan Sabah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sebahagian besar paparan keindahan sinematografi Malaysia adalah dari Sarawak.

“Sarawak merupakan antara tempat yang terindah di dunia menerusi sungainya, bukit-bukau serta gunung-ganang ditambah dengan masyarakatnya yang peramah penuh kesopanan dan kesusilaan.

“Sebab itu, saya ingin mengingatkan rakan-rakan saya dari FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) agar memperbanyakkan kandungan daripada Sarawak dan Sabah dan pembikinan filem atau drama-drama negara,” ujarnya.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika berucap pada perasmian pawagam Lotus Five Star di Summer Mall yang terletak di Kota Samarahan dekat sini, malam Rabu lepas.

Tambah Shabery, ketika beliau masih menyandang portfolio Menteri Penerangan pada tahun 2008, satu perkara yang amat ditekankan oleh beliau ialah memperbanyakkan kandungan yang memaparkan keindahan sinematografi Malaysia.

“Saya mahu paparan yang begitu besar sehinggalah saya katakan kepada rakan saya di RTM sekiranya mereka menghasilkan drama berlatarbelakangkan Sarawak, saya akan berikan lebih keutamaan untuk Sarawak.

“Kemudian pengganti saya Tan Sri Dr Rais Yatim menjadikan saluran Astro 180 kepada Tvi, khusus untuk kandungan dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengulas mengenai pawagam berkenaan Shabery berkata, ia akan dapat memberi satu nilai tambah kepada Sarawak, khususnya Kota Samarahan.

Pembukaan pawagam tersebut juga akan memberi satu lagi ruang platform kepada pembukaan lebih banyak pawagam sekali gus memperbanyakkan industri perfileman negara, katanya.

“Saya difahamkan kebiasaannya masyarakat di Kota Samarahan ini menghabiskan masa hujung minggu mereka untuk menontong wayang di Kuching.

“Tetapi kini dengan adanya pawagam Lotus Five Star di Summer Mall ini, saya yakin orang Kuching pula akan bertandang ke Kota Samarahan pada hujung minggu,” kata Shabery.

Turut hadir pada pembukaan pawagam itu malam Rabu lepas, Pengerusi Lotus Group Datuk Seri Dr Mat Isa Sabu merangkap bekas Menteri Besar Perlis, Pengerusi FINAS Datuk Mohd Affendi Hamdan dan Pengarah Urusan Summer Mall Datuk Lee Chee Fui.

Advertisement