Anda di sini

Tukar sampah menjadi baja kompos menerusi kaedah Takakura

Advertisement

Oleh Agnes Tugong

BEGINI: Kho (kiri) menunjukkan cara penyediaan baja kompos menerusi kaedah Takakura.

PENGURUSAN sisa pepejal, sisa domestik atau lebih mudah dikenali sebagai sampah sarap sama ada daripada kawasan perumahan mahupun perindustiran di negara ini masih di peringkat memuaskan bagi kita di Malaysia ini, amnya Sarawak.

Namun bilangan penduduk yang kian bertambah serta kerakusan manusia mengejar kemajuan dan pembangunan telah menyumbang kepada peningkatan sisa pepejal saban tahun tanpa disedari oleh kita.

Secara puratanya, setiap penduduk membuang sekitar 0.8 kilogram (kg) atau 800 gram sampah setiap hari dan jika didarab dengan kira-kira 2.8 juta penduduk yang ada di Sarawak ini bayangkan berapa banyak sampah yang dibuang setiap hari.

KULAT: Penyediaan medium tanah untuk menghasilkan kulat.

Di Kuching sahaja, terdapat hampir 400,000 orang penduduk dan jika sampah seberat kira-kira 800 gram bagi setiap penduduk ini dikumpul dan ditimbunkan di satu lokasi tidak keterlaluan jika ia dikatakan boleh membentuk sebuah gunung.

Melihat kepada jumlah sampah yang saban hari kian bertambah serta peningkatan kos pengurusannya maka pelbagai kaedah diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengurangkan sampah dan pada masa yang sama menjimatkan kos.

Antara kaedah yang diambil termasuk pengkomposan iaitu satu cara semula jadi untuk mengitar semula sisa organik menjadi tanah baharu atau baja yang dapat digunakan untuk penanaman bunga, sayur, landskap dan banyak lagi.

SIAP: Baja kompos yang terhasil setelah proses dua minggu.

Kaedah Pengkomposan Takakura Pengkomposan Takakura merupakan satu proses inovatif yang telah diperkenalkan oleh KITA (Kitakyusyu International Techno-Cooperative Association) untuk menukar sampah menjadi baja kompos.

Menerusi kaedah ini ia bukan sahaja dapat mengurangkan sampah dari rumah malah menjimatkan kos pembelian baja untuk menyuburkan pelbagai jenis tanaman yang diusahakan.

Penolong Pegawai Kesihatan dan Alam Sekitar (Pengurusan Sisa Pepejal), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kho Joo Huat berkata 33 peratus daripada sampah yang dibuang merupakan sisa organik.

Malangnya ramai yang tidak mengetahui bahawa sisa organik ini boleh ditukar menjadi baja kompos menerusi kaedah kompos Takakura.

Sesuai digunakan oleh semua golongan masyarakat terutama bagi isi rumah yang berskala kecil, kaedah kompos Takakura mudah dilaksanakan  serta jauh lebih murah berbanding harga baja kompos di pasaran.

“Dengan empat langkah mudah, membuat larutan fermentasi, membuat benih kompos, membuat bekas penyimpanan kompos disusuli dengan pengkomposan, kaedah ini sesuai digunakan oleh semua golongan masyarakat.

“Kaedah ini bukan sahaja dapat mengurangkan sisa dari dapur dan rumah malah lebih penting memupuk kesedaran terhadap kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar,” katanya yang ditemui pada kempen inisiatif hijau anjuran MBKS di Kuching.

PERAM: Dua cecair penapaian yang diperam selama tiga hingga lima hari.

Bagi menggalakkan penggunaan kaedah kompos Takakura dalam kalangan masyarakat, MBKS menurut Kho turut menyediakan bengkel pengkomposan ke rumah untuk mereka yang berminat.

Permohonan katanya boleh dibuat dengan mengisi borang yang disediakan di MBKS dan sebarang maklumat lanjut mengenai kaedah ini boleh kunjungi MBKS atau layari laman web MBKS.

Dalam pada itu kaedah pengkomposan Takakura telah diperkenalkan di negeri ini pada tahun 2009 oleh perintisnya Koji Takakura, seorang pencinta alam sekitar Jepun.

Takakura dan dua pegawai dari Bandaraya Kitakyushu serta beberapa wakil dari Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) telah dibawa ke Sibu bagi mengendalikan kursus untuk pegawai dari 26 pihak berkuasa tempatan di negeri ini.

Kursus tersebut merupakan Majlis Perbandaran Sibu (SMC) bersama-sama JICA, JPEC Co Ltd, (sebuah syarikat Jepun) dan Bandaraya Kitakyushu.

Pemilihan SMC untuk menganjurkan kursus tersebut adalah disebabkan SMC merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang menganggotai Rangkaian Inisiatif Bandaraya Kitakyushu di bawah Insititut Strategi Alam Sekitar Global (IGES).

Takakura, pada kursus tersebut memberitahu bahawa kaedah beliau adalah ideal untuk negara tropika dan sehingga kini telah pun diperkenalkan di Indonesia, Thailand, Filipina dan Nepal.

Mudah dilaksanakan adalah kelebihan kaedah Takakura serta masa penguraian sisa pepejal berlaku dengan singkat iaitu dua minggu selain sisa buangan mudah diperolehi.

Malah dari segi kos, modal penghasilan baja kompos menggunakan kaedah THM (Takukura Home Method) adalah lebih murah berbanding harga baja kompos di pasaran.

Jika dibandingkan kos bagi sekilo Takakura adalah RM5 lebih murah berbanding harga baja di pasaran yang dijual antara RM12 sekilo atau lebih tinggi mengikut jenis baja.

 

 

 

 

Advertisement