Anda di sini

CAP saran Kementerian Kesihatan kaji pemberian vaksin HPV

Advertisement

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan Kementerian Kesihatan mengkaji semula program suntikan vaksin Human Papilloma Virus (HPV) untuk mencegah kanser serviks kepada pelajar perempuan berusia 13 tahun yang dimulakan sejak 2010.

Presidennya SM Mohamed Idris berkata vaksin jenis Gardasil dan Cervarix yang digunakan sekarang hanya melindungi empat daripada 40 jenis HPV yang dikaitkan dengan kanser.

“Bukan semua HPV menyebabkan kanser serviks dan kajian menunjukkan 25 daripada 38 wanita yang menghidap kanser mempunyai jenis HPV yang tidak dilindungi kedua-dua jenis vaksin berkenaan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata HPV yang menjadi kanser serviks disebar menerusi hubungan seksual justeru pemberiannya kepada pelajar perempuan seawal usia 13 tahun di negara ini dilihat kurang sesuai.

Turut hadir penyelidik HPV dan kanser serviks merangkap Pensyarah Kanan Toksikologi dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Md Azman Seeni Mohamed.

Dr Md Azman berkata hasil penyeldidikannya mendapati vaksin berkenaan hanya mampu melindungi tubuh dalam masa empat tahun dan menurutnya HPV bukan satu-satunya penyebab kanser sebaliknya faktor gaya hidup dan makanan turut meningkatkan risiko penyakit itu.

Beliau berkata kesan sampingan vaksin itu sendiri berbanding kanser serviks turut tidak boleh dipandang ringan memandangkan tidak semua individu sesuai menerimanya apatah lagi ia melibatkan kos tinggi.

“Dana yang diperuntukkan kerajaan untuk program itu boleh diganti dengan program mempergiatkan ujian pap smear secara berkala terutama kepada ibu hamil, wanita yang akan berkahwin dan wanita berusia 17 tahun ke atas,” katanya. — Bernama

Advertisement